Umno gantung Wan Azri 6 tahun


Wan Muhammad Azri Wan Deris digantung keanggotaan exco sayap Pemuda Umno kerana melanggar beberapa peruntukan dalam perlembagaan parti mengenai tata etika ahli.– Gambar fail The Malaysian Insight 1 September, 2021.

UMNO menggantung keanggotaan exco sayap pemudanya Wan Muhammad Azri Wan Deris selama enam tahun kerana melanggar perlembagaan parti.

Azri yang juga dikenali sebagai Papagomo mengesahkan tindakan Umno terhadapnya melalui satu hantaran di Twitter bersama sepotong rakaman pendek video yang menunjukkan beliau menerima surat penggantungan itu.

“Terima kasih Presiden Umno Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Gantung 6 tahun keahlian parti Umno,” tulisnya.

Media melaporkan keahlian Azri digantung berkuat kuasa 27 Ogos, sementara surat makluman daripada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dikeluarkan hari ini.

Ahmad dipetik berkata Azri digantung kerana melanggar beberapa peruntukan dalam perlembagaan parti mengenai tata etika ahli antaranya berhubung mematuhi arahan dan keputusan parti, melaksanakan dasar parti dan memelihara nama baik parti.

Berita penggantungan Azri tersebar sejak beberapa hari lalu, selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 27 Ogos.

Azri pada masa itu berkata beliau diberitahu mengenainya oleh setiausaha kerja Pemuda Umno melalui pesanan di WhatsApp dan belum menerima sebarang makluman rasmi.

Azri juga mendedahkan telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp Exco Pemuda Umno Malaysia, yang beliau percaya ada kaitan dengan tindakan terhadapnya.

Pada hujung April 2021, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dipetik berkata seorang exco pimpinannya akan dihadapkan ke lembaga disiplin parti kerana tindakan yang didakwa bercanggah dengan keputusan Umno tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama individu itu.

Laporan itu muncul tidak lama selepas sekumpulan ahli Umno Wangsa Maju membuat laporan salah laku terhadap Azri kerana cuba memujuk ahli dan pemimpin parti bekerjasama dengan Bersatu.

Perhimpunan Agung Umno yang diadakan beberapa minggu sebelum itu membuat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PKR. Ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun turut menyebut tiada juga kerjasama dengan Bersatu.

Dalam reaksi awal kepada Malaysiakini, Azri berkata tidak akan merayu tindakan parti terhadapnya. Beliau sebaliknya menyeru ahli Umno supaya menyelamatkan parti daripada dijadikan “tebusan” oleh pihak yang tidak beliau namakan. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen