Syarat MM2H akan disemak semula, kata Hamzah


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dipetik The Star berkata syarat ketat MM2H akan disemak semula.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2021.

PUTRAJAYA akan semak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang akan beroperasi semula pada Oktober, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

“Kita akan semak perkara ini dengan serius,” katanya dipetik The Star hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut bilakah semakan akan dimulakan.

MM2H dilancarkan pada 2002 untuk menarik pelabur asing, mempromosikan pelancongan dan membangunkan ekonomi negara dengan menggalakkan warga asing tinggal di Malaysia dalam jangka masa panjang dengan prosedur lebih mudah dan banyak kelebihan seperti tempoh visa 10 tahun.

Program itu dibekukan sementara pada September 2018 untuk dikaji semula.

Ia akan diaktifkan semula pada Oktober dengan syarat lebih ketat, seperti diumumkan Kementerian Dalam Negeri pada 11 Ogos.

Di bawah syarat baharu, pendapatan luar negara pemohon MM2H mesti sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.

Pemilikan akaun simpanan pula sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak pemohon.

Ejen MM2H bagaimanapun bimbang syarat ketat itu menyukarkan usaha untuk menarik pemohon ketika ekonomi global masih belum pulih akibat pandemik Covid-19 .

Syarat ketat itu turut mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menggesa supaya syarat tersebut disemak semula.

Baginda bertitah syarat yang terlalu ketat dikhuathiri boleh menjejaskan kemasukan peserta baharu, serta pemegang pas MM2H yang sedia ada sekarang.

“Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik bagi mendorong kemasukan pelancong dan pelabur kembali meningkatkan ekonomi negara.

“Jika ia (syarat baharu) terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara dan memberi tekanan kepada peserta baharu serta sedia ada.

“Ini juga amat mengecewakan kita di Johor yang mana kita mempunyai hubungan sejarah yang lama dengan Singapura dan rakyatnya, tetapi syarat baharu ini kemungkinan akan menyebabkan mereka tidak melabur di Johor,” titah baginda dalam kenyataan pada Isnin.

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengembalikan kriteria ditetapkan sebelum ini yang berkesan mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi persaraan antarabangsa.

“Peraturan baharu ini akan menyebabkan lebih banyak pemegang pas MM2H keluar dari negara ini. Jadi, bagaimana kita hendak mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan.

“Jika kita kerap mengubah peraturan, ini boleh menyebabkan ketidakyakinan dalam kalangan peserta dan ini juga bukan masanya untuk menaikkan kadar fi. Pengubahan syarat secara drastik akan menjejaskan imej negara,” titah baginda.

Setakat ini sebanyak 57,478 permohonan MM2H termasuk tanggungan, telah diluluskan.

Antara tahun 2002 dan 2019, program ini menjana pendapatan kasar sebanyak RM11.89 bilion. – 1 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen