PENDAFTAR Pertubuhan mengesahkan Umno tidak melanggar sebarang peraturan atau undang-undang apabila menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan sehingga akhir tahun depan, kata Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung Umno berkata pengesahan itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Jasri Kasim kepadanya melalui sepucuk surat petang tadi.
Surat itu antara lain memaklumkan bahawa “keputusan penangguhan pemilihan Umno untuk penggal 2021-2023 telah dibuat secara teratur.”
“Oleh itu, pemilihan jawatan Umno untuk Majlis Kerja Tertinggi, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan yang dihebahkan melalui Twitter.
Ahmad menjelaskan RoS membuat keputusan itu selepas menyemak keterangan dan dokumen tambahan yang telah beliau dan peguam Umno serahkan kepada jabatan itu serta keterangan beberapa ahli MKT Umno antara 9 hingga 24 Ogos.
Pada 6 Ogos, RoS memaklumkan Umno keputusan penangguhan pemilihan parti itu tidak sah kerana dibuat oleh MKT Umno selepas tempoh jawatan berakhir pada 30 Jun. Ia meminta Umno mengadakan pemilihan itu sebelum 31 Disember ini.
Umno bagaimanapun menegaskan keputusan penangguhan pemilihan dibuat secara resolusi edaran semasa dalam tempoh jawatan iaitu pada 18 Jun dan disahkan oleh mesyuarat MKT Umno pada 7 Julai.
Beberapa pemimpin Umno lalu menyifatkan keputusan RoS bermotifkan politik, dan pandangan itu juga dikongsi badan pemantau pilihan raya Bersih.
Sementara itu, Ahmad juga memaklumkan walaupun tiada pemilihan parti, mesyuarat tahunan cawangan dan bahagian serta perhimpunan agung bagi 2021 masih perlu diadakan pada tahun ini.
“Tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian,” tambahnya.
Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menggesa pihak pengurusan parti supaya tidak menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik melihat pemimpin Umno berbalah mengenai tempoh pemilihan parti kerana mahu mengawal parti dan menyingkirkan seteru politik mereka. – 30 Ogos, 2021.
Komen