Umno berbalah tarikh pemilihan untuk kuasai parti, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

MKT Umno dijadual bermesyuarat yang dijangka menetapkan tarikh pemilihan yang kini menjadi perbalahan dalam kalangan pemimpin parti berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2021.

PEMIMPIN Umno yang diberi julukan ‘Kluster Mahkamah’ mahu pemilihan parti ditangguh sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mahu mengawal parti dan menyingkirkan seteru politik mereka, kata penganalisis politik.

Pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kluster mahkamah ini – diberi nama kerana mereka berdepan pertuduhan jenayah – ada agenda kepentingan politik masing-masing.

Antara pemimpin dalam kelompok ini termasuk presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, setiausaha agung Ahmad Maslan, bendahari Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli Majlis Kerja Tertinggi Abdul Azeez Abdul Rahim, dan bekas presiden Najib Razak.

Satu lagi kelompok, yang digelar ‘Kluster Menteri’ sebaliknya cenderung pemilihan Umno diadakan segera kerana bimbang mereka akan digugurkan daripada jadi calon PRU15, tambah Awang Azman.

Mereka ini termasuk bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas setiausaha agung Annuar Musa, yang semuanya kini tiada jawatan dalam parti.

“Mereka takut tidak dipilih sebab selagi tidak ada pemilihan parti, mereka tak tempatkan diri (dalam parti)... terdapat kebimbangan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat akan terancam jika mereka tak terpilih. 

“Jadi mereka perlu ada jawatan dalam parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hishammuddin tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan lalu sementara Khairy kalah jawatan presiden dan Annuar kalah jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti pada Jun 2018.

Sejak dua minggu lalu, garis antara dua kelompok ini jelas dengan satu kelompok tidak mahu Umno bersama Bersatu dalam PRU15 sementara satu kelompok lagi mendukung kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut Awang Azman, perbalahan terbuka dalam Umno akan terus berlaku menjelang pemilihan parti dengan masing-masing kelompok menyuarakan kepentingan yang berbeza. 

Beberapa pemimpin Umno menggesa parti supaya tidak menangguhkan pemlihan yang sepatutnya diadakan pada tahun ini, antaranya Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan serta Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan  Timbalan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican.

Khairy malah berkata pemilihan itu perlu diadakan segera untuk menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sebelum pilihan raya umum akan datang.

Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin dalam 'Kluster Mahkamah' yang mahu pemilihan parti ditangguh sehingga selepas PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2021.

Sementara itu, ditanya siapa dalam kalangan pemimpin Umno yang dilihat calon pengganti Zahid, Awang Azman berkata setakat ini pemimpin itu belum dilihat menonjol biarpun ada yang menyebut naib presiden Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin.

Hishammuddin semalam malah meminta semua pihak untuk berhenti melaga-lagakan pemimpin dan mewujudkan kem dalam parti.

Dalam pada itu, pemimpin akar umbi Umno turut berbelah bagi dalam polemik tarikh pemilihan parti dan menyerahkan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi untuk memutuskan hal itu.

Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera berkata sebenarnya akar umbi tidak ada isu mengenai waktu yang sesuai untuk parti mengadakan pemilihan bagi memilih barisan kepimpinan bagi penggal 2021 hingga 2023.

Beliau mendakwa isu itu hanya dimainkan oleh pihak yang mahu memecah belahkan Umno.

“Bila pemilihan parti dibuat tidak akan menjadi faktor perpecahan parti. Kita serah saja pada MKT untuk buat keputusan,” katanya.

MKT Umno dijadual bermesyuarat dalam masa terdekat, yang dijangka akan menetapkan tarikh pemilihan tersebut.

Secara peribadi beliau lebih mahu pemilihan parti diadakan selepas PRU15.

“Saya fikir lebih sesuai fokus pada pilihan raya dulu. Soal pemilihan tak perlu lagi kerana kita beri fokus pada pilihan raya,” katanya. 

Sementara itu, exco pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris pula berkata MKT perlu membuat keputusan segera menentukan tempoh pemilihan memandangkan ketika ini ramai akar umbi mula resah dengan pelbagai isu yang timbul dalam parti itu.

Ini termasuk isu rakaman perbualan telefon yang didakwa antara Zahid dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, perbezaan pandangan antara ahli dan pemimpin parti perkara biasa namun keputusan muktamad itu harus ditentukan dalam pemilihan yang perlu dibuat sebelum pilihan raya.

“Masing- masing ada pandangan dan pendirian tapi kita tak ada tempat untuk lontarkan selain pemilihan. Kita harap pemilihan sebelum darurat tamat tak gugat apa pun. 

“Kita tahu selepas darurat akan ada pilihan raya. Kalau kita nak betulkan (parti) kena buat sebelum darurat sebab lepas itu kita boleh bersedia dengan kepimpinan Umno baru dan segar yang lebih diyakini perwakilan Umno,” katanya.

Pada masa sama beliau turut berpendapat Zahid perlu berundur atau bercuti sementara kerana majoriti perwakilan Umno tidak yakin dengan kepimpinan presiden itu.

Wan Muhammad Azri berkata cadangannya tidak bermaksud dirinya sekutu kepada Perikatan Nasional, seperti yang pernah dilabelkan sebelum ini.

Sebaliknya, cadangannya itu demi menyelamatkan Umno.

“Bila saya cakap begini bukan saya khianat Umno atau saya ini sekutu pada PN. 

“Tapi pendirian saya adalah untuk penyatuan Ummah, kaum Melayu,” katanya. – 14 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen