PENYIASAT persendirian yang diupah ahli keluarga taikun farmaseutikal Kanada, Barry Sherman merumuskan yang mendiang dan isterinya mati dibunuh, lapor Toronto Star.
Pengasas syarikat ubat-ubatan Apotex itu dan isterinya ditemui mati di tingkat bawah tanah rumah mereka di Toronto, Kanada pada 15 Disember lalu. Apotex merupakan pembuat ubat-ubatan generik terbesar di Kanada dan dianggarkan kekayaan Sherman berjumlah lebih AS$3 bilion.
Sebelum ini, unit homisid Toronto melabelkan kematian itu sebagai “meragukan” sejurus mayat mangsa ditemui, namun turut mengesahkan tiada suspek yang dicari.
Namun, unit itu menarik balik kenyataan mereka.
Tubuh pasangan itu dijumpai tergantung di kolam mandi bawah tanah. Teori mengatakan pengerusi Apotex berusia 75 tahun itu membunuh dan menggantung isterinya, Honey sebelum menggantung dirinya sendiri, lapor media Kanadia pada Disember.
Bagaimanapun anak-anak Sherman menafikan pembunuhan-bunuh diri itu tidak masuk akal, justeru mereka mengupah peguam jenayah Brian Greenspan bagi membantu, lapor the Star.
Greenspan, kemudiannya melantik penyiasat persendirian dan memohon mengadakan autopsi kedua yang dijalankan oleh patologi forensik pada 20 Disember, sebaik sahaja tamat majlis pengebumian Sherman.
Patologis dan detektif serta bekas penyiasat homisid Toronto mendapati ada kesan pada pergelangan tangan mangsa, yang menunjukkan yang tangan mangsa diikat.
Ketika mayat dijumpai, pergelangan tangan mangsa tidak terikat, malah tiada tali dijumpai, lapor akhbar tempatan. Malahan, ujian toksikologi juga mendapati tiada petanda pelik berkaitan penggunaan dadah.
Justeru, kumpulan penyiasat itu merumuskan yang pasangan itu dicekik sampai mati menggunakan tali pinggang yang dijumpai dililit di leher serta diikat di hujung kolam.
Sumber yang rapat dengan keluarga Sherman menggunakan perkataan seperti “profesional,” “pembunuh upahan,” dan “pembunuhan terancang” bagi menerangkan kematian pasangan itu, lapor the Star. – AFP, 21 Januari, 2018.
Komen