SOP sahaja tidak memadai, dapatkan vaksin, kata Dr Mahathir 


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa masyarakat agar mendapatkan vaksin Covid-19 untuk mengekang penularan virus itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2021.

DR Mahathir mengingatkan rakyat Malaysia kepentingan untuk mendapatkan suntikan vaksin dan mengatakan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sahaja tidak memadai untuk mengekang penulaan virus.

Bekas perdana menteri itu selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter hari ini untuk memfokuskan kepada mereka yang belum divaksin bagi mengawal penularan varian Delta yang lebih mudah merebak.

“Satu cara yang penting ialah suntikan vaksin. Cuba dapat suntikan secepat mungkin.

“Kita lebih selamat jika disuntik. Ini sahaja cara menyelamat kita. SOP menolong tetapi vaksin lebih mampu selamat kita,” kata Dr Mahathir menerusi blognya chedet.cc.

Kes Covid-19 mencatatkan peningkatan semalam untuk dua hari berturut-turut dengan 22,642 kes jangkitan baharu.

Isnin lalu, kes jangkitan merekodkan penurunan kepada 17,642 yang terendah dalam tempoh 13 hari. Bagaimanapun penurunan itu hanya sementara apabila jumlah kes meningkat kepada 20,873 pada Selasa.

Dr Mahathir berkata koronavirus memberi kesan kepada keluarga, ibu bapa, rakan dan kenalan.

“Sehingga kini sudah 12,000 orang meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19. Ramai yang tidak dapat dirawat di hospital dan menjadi teruk dan meninggal. Ramai yang tak dapat makan, jauh sekali dari pendapatan.”

Setakat ini, negara merekodkan 14,818 kes kematian dengan 265 yang direkodkan semalam.

Dr Mahathir berkata situasi kini amat teruk, apabila lebih 20,000 dijangkiti setiap hari.

“Tidak dapat rawatan, tinggal di rumah, menjadi lebih teruk dan meninggal.

“Oleh kerana keadaan ini orang ramai perlu pandang serius wabak ini dan sanggup menerima segala tindakan untuk kurangkan kes baru.

“Memang menekan apabila mengamal prosedur operasi standard. Memang sukar untuk patuh arahan memisah diri dengan jauh dari orang lain sepanjang masa, memakai pelitup muka, membasuh tangan. Memang sukar untuk tidak ke pasar dan lain-lain.

Beliau berkata sekiranya masih ramai yang tidak sanggup mematuhi SOP, lebih ramai akan dijangkiti dan lebih banyak kes kematian.

“Ya, memang menekan semua ini. Tetapi jika kita tidak sanggup mengalami kesusahan, keadaan akan jadi lebih teruk dan ramai yang akan dijangkiti dan meninggal dunia.” – 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen