Fokus pada individu tidak vaksin untuk kawal varian Delta, kata KP kesihatan


Vaksin perlu diberikan kepada individu yang belum divaksin bagi mengekang penularan varian Delta Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2021.

PEMBERIAN dos penggalak vaksin Covid-19 kepada individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak akan dapat membantu mengekang penularan varian Delta, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Apa yang perlu dilakukan, katanya ialah memberikan vaksin kepada individu yang belum menerima suntikan vaksin.

“Pemberian dos penggalak kepada mereka yang lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta. Tetapi apa yang dapat mengawal varian itu ialah memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksin,” katanya di Twitter.

Malaysia antara negara yang sedang mempertimbangkan keperluan suntikan dos penggalak bagi berdepan dengan penularan pantas varian Delta.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebelum ini berkata ia mengadakan perbincangan berkenaan suntikan dos penggalak.

Bekas menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sepatutnya membuat pengumuman berkenaan perkara itu tetapi terganggu susulan keruntuhan kerajaan.

Setakat 24 Ogos, seramai 13.6 juta (58%) populasi dewasa sudah divaksin, sementara 18.6 juta (79.6%) menerima dos pertama.

Secara keseluruhan 31.8 juta dos vaksin diberikan sejak program imunisasi bermula pada 24 Februari.

Dr Noor Hisham berkata fokus pada masa ini patut tertumpu kepada meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara sebelum mempertimbangkan tentang suntikan dos penggalak.

“Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya.

Semalam, walaupun Malaysia melaporkan 22,642 kes baharu Covid-19 berbanding 20,798 kes pulih, jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan menurun kepada angka paling rendah dalam tempoh hampir sebulan.

Terdapat 1,003 pesakit di wad ICU pada masa ini dengan 490 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Angka di ICU tidak pernah berada pada paras itu sejak 25 Julai, ketika Dr Noor Hisham berkata 970 pesakit dirawat di ICU di seluruh negara sementara jumlah mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan kini pada jumlah terendah sejak 24 Julai (248).

Sementara itu, antara pesakit yang sedang dirawat di ICU, 38 daripadanya sudah divaksin.

Seramai 25 pesakit berada dalam Kategori 5 (keadaan kritikal dan memerlukan sokongan bantuan pernafasan) dan 13 lagi Kategori 4 (esakit mengalami pneumonia dan memerlukan oksigen). – 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen