Bersatu bertanding 18 kerusi DUN Johor


Chan Kok Leong

Bersatu yang kini diterajui Dr Mahathir Mohamad akan bertanding 18 kerusi DUN di Johor. Kubu kuat UMNO-BN itu akan menyaksikan persaingan sengit dengan penyertaan Bersatu dan Amanah dalam arena politik negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.

PENDATANG baru dalam Pakatan Harapan, Bersatu akan menentang Umno di tempat kelahirannya dengan bertanding di 18 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata sumber parti.

Kebanyakan 18 kerusi yang akan ditandingi kini dipegang Umno seperti kerusi Permas milik Menteri Besar Johor Khaled Nornin dan Endau yang kini dipegang bekas Exco Abd Latiff Bandi.

Antara 18 kerusi itu, 16 kini dipegang Umno dan dua lagi, Gambir dan Tenggaroh dipegang MIC.

Latiff sudah meletak jawatan sebagai exco selepas didakwa dengan 33 pertuduhan rasuah melibatkan RM30 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April tahun lepas.

Ketika persidangan DUN Johor tahun lepas, Adun Senai Wong Shu Qi juga mendakwa Khaled terlibat dalam skandal tanah yang sama melibatkan Latiff.

Beliau kemudian diperintah keluar dewan kerana dakwaan itu.

Sementara itu, DAP akan bertanding di 14 kerusi negeri, PKR dan Amanah pula mendapat 12 kerusi.

Selepas menang pada PRU13 lepas, DAP yang menang 13 kerusi menentang MCA akan mempertahankan kerusi itu daripada musuh tradisi mereka itu.

Pada 2013, MCA bertanding di 15 kerusi negeri dan hanya menang dua di Paloh dan Pulai Sebatang.

Barisan Nasional ketika itu menang 38 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Pembangkang ketika itu- Pakatan Rakyat- diungguli dengan DAP apabila menang 13 kerusi, PAS (4) dan PKR (1).

Adun Parit Yanni dari PAS kini sudah menyertai Amanah.

Johor kekal sebagai salah satu kubu kuat parti pemerintah apabila BN meraih 53.98% daripada 1.36 juta undi. Di peringkat nasional, BN hanya menang 48% undi popular dibandingkan dengan 51% milik Pakatan Rakyat. – 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen