PAKATAN Harapan disaran untuk membuat jemputan rasmi kepada semua parti pembangkang untuk menyertai gabungan itu bagi mengekalkan dan memperkasakan sokongan daripada parti ini, kata Hannah Yeoh hari ini.
Dalam satu kenyataan bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, senator Amanah Aiman Athirah Sabu, ahli Parlimen Segambut itu berkata langkah ini sejajar dengan kerangka “Khemah Besar” bagi mengatasi percaturan dan permainan politik.
“Setelah perdana menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Malaysia terpaksa berdepan dengan krisis kepimpinan negara sekali lagi.
“Biarpun PH dan parti-parti pembangkang telah berjaya menamakan Anwar Ibrahim (presiden PKR) sebagai calon tunggal untuk diangkat sebagai perdana menteri ke-9, namun jumlah 105 sokongan yang dimiliki oleh beliau masih tidak mencukupi.
“Jumlah sokongan 105 ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dibuktikan pada 18 Ogos 2021 tempoh hari perlu dikekalkan dan diperkemaskan lagi dalam bentuk persefahaman yang lebih formal menuju pilihan raya umum yang akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Untuk tujuan itu, beliau mencadangkan PH untuk membuat jemputan rasmi kepada parti pembangkang terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menyertai Harapan.
“Kebersamaan ini perlu diikat kemas supaya sokongan padu dan kekuatan angka 105 ini dapat menyakinkan rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bahawa Harapan merupakan pilihan paling tepat untuk memimpin Malaysia. Mohon disegerakan,” katanya.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata ia akan memperkukuhkan sebagai satu blok di bawah kepimpinan Anwar.
Tambahnya, segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon serta strategi untuk memenangi mandat rakyat. – 24 Ogos, 2021.
Komen