PAKATAN Harapan akan mengambil pendekatan terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep “Khemah Besar” bagi mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa, kata majlis presidennya hari ini.
“Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dalam kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara,” kata majlis presiden sambil menambah pendekatan “Khemah Besar” berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.
Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu berkata selepas mesyuarat hari ini, PH akan diperkuat sebagai blok politik di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
“Segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto. Barisan kepimpinan dan calon serta strategi untuk memenangi mandat rakyat,” menurut kenyataan berkenaan.
Majlis itu juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua 105 ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Anwar dalam usaha mendapatkan majoriti sambil menambah bahawa mereka akan meneruskan peranannya sebagai pembangkang di Parlimen demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksana. – 23 Ogos, 2021.
Komen