TIADA parti serta sokongan dari kalangan pemimpin dan pengundi Barisan Nasional (BN) yang kian berkurangan menjadikan perjalanan Ahli Parlimen Saratok, William Mawan Ikom untuk bertanding di kerusi yang dimenanginya pada 2013 sukar.
Mawan kini dilaporkan terdesak untuk mendapatkan sokongan dan peruntukan kempen bagi mempertahankan kawasan campuran Melayu-Dayak menggunakan tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketika beliau masih menerajui Parti Demokratik Progresif Sarawak - yang kini dikenali sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP) merupakan satu daripada empat parti dalam gabungan BN Sarawak - bekas presiden paritu itu menang kerusi dengan tiket BN.
Bekas menteri Sarawak bagi pembangunan sosial itu meletak jawatan sebagai presiden pada Mei 2014 selepas berlaku pertelingkahan dalam barisan kepimpinan parti.
Mawan dan penyokongnya, termasuk beberapa wakil rakyat kemudian menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ditubuhkan setahun kemudian.
Bagaimanapun, Mawan meletak jawatan dari Teras sebagai memenuhi syarat yang dikenakan bekas ketua menteri Adenan Satem jika beliau mahu mengekalkan kerusi Pakan sebagai “wakil langsung BN” pada pilihan raya negeri pada 2016.
Semenjak itu beliau menjadi wakil Bebas di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. – 20 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan