223 maut angkara Covid-19 hari ini, lapor KKM


Raevathi Supramaniam

223 kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 sebanyak 13,936 sejak pandemik bermula, lapor Kementerian Kesihatan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2021.

JUMLAH jangkitan harian Covid-19 terus mengatasi jumlah kes sembuh buat 57 hari berturut-turut, lapor Kementerian Kesihatan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 18,576 kes sembuh berbanding 22,262 jangkitan baharu hari ini, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 1,535,286 dan kes pulih 1,260,470.

Jumlah kes aktif di negara ini kini berjumlah 260,880, katanya.

Dalam pada itu jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kekal tinggi dengan lebih separuh memerlukan ventilator.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 1,035 pesakit Covid-19 di ICU hari ini dengan 513 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut dilaporkan 223 kematian hari ini di mana 35 kes disenaraikan sebagai maut sebelum tiba di hospital (BID). Angka baharu ini menjadikan jumah keseluruhan maut kini 13,936, katanya.

Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, Dr Noor Hisham mengingatkan individu yang telah diberi vaksin sepenuhnya agar tidak menyalahgunakan hak istimewa atau kelonggaran sekatan yang diberikan kerajaan.

Bermula semalam, individu yang telah lengkap divaksin dibenarkan makan di kedai di seluruh negara.

Dr Noor Hisham turut memberi amaran jika rakyat leka, kemungkinan negara akan menghadapi lonjakan kes Covid-19.

“Jika rakyat tidak memanfaatkan kelonggaran yang diberikan, berkemungkinan negara ini akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus Covid-19.

“Kita perlu ingat masih ada sebahagian daripada populasi di negara ini belum divaksin. Mereka ini mudah terkena jangkitan Covid-19. 

“Kita perlu memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan mereka yang didapati positif atau ada kontak rapat perlu menjalani kuarantin supaya tidak menjangkiti orang lain.

Daripada jumlah 22,626 kes dilaporkan hari ini, 97.9% atau 21,793 kes berada dalam Kategori 1 dan 2. Ini adalah kategori individu yang tiada atau bergejala ringan.

Pesakit Kategori 3, 4 dan 5 merangkumi 2.1% atau 469 kes dilaporkan hari ini. Ini merangkumi pesakit dengan radang paru-paru, yang perlukan oksigen dan mereka yang perlukan ventilator.

Sementara itu, 18,374 atau 82.5% kes yang dilaporkan hari ini adalah yang belum diberi vaksin atau belum lengkapkan vaksinasi mereka.

Dari 223 kematian hari ini, paling tinggi dilaporkan di Selangor dengan 77 kes.

Negeri lain yang melaporkan kematian ialah Sabah dengan 27 kematian, disusuli Kedah (23), Pulau Pinang (20), Kuala Lumpur dan Melaka (18), Johor (14), Negeri Sembilan (11), Perak (7), Pahang (5), Sarawak (2) dan Labuan (1).

Kadar jangkitan (Rt) seluruh negara pada masa ini berada pada tahap 1.04. Perlis negeri paling rendah kadar jangkitan dengan 1.38, diikuti Sarawak (1.31) dan Sabah (1.23). – 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen