INDIVIDU yang menerima vaksin lengkap kini dibenarkan makan di restoran di seluruh negara, kata perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin.
Kemudahan itu diperluas ke semua negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara bermula Jumaat 20 Ogos, katanya dalam satu kenyataan.
Katanya setiap kementerian, agensi dan pemilik premis bertanggungjawab ke atas pelaksanaan kemudahan itu mengikut panduan ditetapkan untuk mengelak jangkitan Covid-19.
Kelonggaran ini dibuat ketika Malaysia mencatatkan rekod tertinggi 22,948 kes baharu Covid-19 dengan Selangor dan Kuala Lumpur – dua negeri Fasa 1 mencatatkan 8,614 kes.
Selangor terus mendahului senarai negeri dalam jumlah kes harian yang mencecah lebih 6,000 sehari.
Dalam kenyataan tiga halaman itu, perdana menteri sementara itu berkata, ibu bapa yang menerima vaksin sepenuhnya juga boleh membawa anak-anak mereka berusia 17 tahun ke bawah makan di kafe dan restoren.
Selain kelonggaran makan di kedai, Muhyiddin berkata, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal serta bukan berkumpulan juga dibenarkan di negeri Fasa 1.
“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata, aktiviti sukan luar ini boleh dilakukan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
Sementara itu Muhyiddin berkata, untuk makan di kedai hanya dibenarkan untuk individu yang sudah menyelesaikan proses vaksinasi mereka sepenuhnya.
“Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (contohnya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.
“Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.
Beliau berkata, kafe dan restoran bertanggungjawab memastikan pelanggan sudah lengkap sepenuhnya proses vaksinasi mereka dengan memeriksa sijil digital Covid-19 pada aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan pasar malam dibuka di bawah Fasa 1 PPN.
Muhyiddin berkata kerajaan memutuskan untuk melonggarkan SOP bagi individu yang diberi vaksin sepenuhnya di Fasa 1 bagi Labun, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas jumlah kemasukan ke hospital bagi tahap 3 dan 4 Covid-19 menurun selepas kadar vaksinasi untuk golongan dewasa mencapai 40%.
Beliau berkata, kadar vaksinasi orang dewasa untuk Lembah Klang juga sangat memberangsangkan kerana sudah mencapai 73.8%. – 19 Ogos, 2021.
Komen