Pelajar duduki peperiksaan di negeri Fasa 2 dibenar hadir kelas bersemuka


Ragananthini Vethasalam

Pelajar menduduki peperiksaan tahun ini di negeri Fasa 2 PPN akan dibenarkan menjalani kelas bersemuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2021.

SEKOLAH di negeri di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan mengadakan pembelajaran secara fizikal bagi pelajar yang menduduki peperiksaan penting tahun ini, menurut prosedur operasi standard (SOP) terbaru Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun, tarikh mula mengikut takwim Kementerian Pendidikan.

Ini termasuk untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).

SOP terpakai bagi mereka yang sudah diberi vaksin lengkap di negeri Fasa 2 iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Bagi Sabah, SOP disenaraikan dalam SOP Fasa 2 PPN untuk Sabah.

Walaupun tarikh permulaan pelajaran bersemuka akan ditentukan oleh Kementerian Pendidikan, SOP ini berkuatkuasa pada 20 Ogos.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini berkata vaksinasi untuk dua kategori remaja akan bermula pada pertengahan September, menurut surat pekeliling.

Kategori pertama melibatkan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu.

Kategori kedua adalah untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun, mempunyai atau tanpa masalah kesihatan, pekeliling bertarikh 12 Ogos dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Perintah yang dinyatakan dalam pekeliling ini akan berkuatkuasa pada 15 September 2021,” katanya dalam surat pekeliling yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Individu yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech, Astrazeneca dan Sinovac dianggap sudah diimunisasi lengkap terhadap Covid-19 selepas 14 hari mengambil dos kedua.

Bagi penerima vaksin dos tunggal seperti CanSino dan Johnson and Johnson, mereka akan dianggap lengkap diimunisasi selepas 28 hari menerima suntikan.

Di bawah SOP baharu, pelajar dan guru akan dibenarkan merentas negeri dan daerah ke sekolah dan asrama, dengan syarat mempunyai surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan, Mara atau agensi berkaitan.

Penjaga juga dibenarkan melakukan perjalanan dengan pelajar tersebut.

“Pelajar yang melakukan perjalanan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya harus mematuhi peraturan berkaitan ujian dan kuarantin Covid-19,” katanya.

Pelajar yang berada di sekolah antarabangsa dan menduduki peperiksaan juga dibenarkan hadir secara fizikal untuk mengikuti peperiksaan mengikut jadual ditetapkan oleh lembaga peperiksaan antarabangsa.

Bagaimanapun, institusi pendidikan tinggi masih perlu meneruskan pembelajaran dalam talian kerana pembelajaran secara fizikal masih dilarang.

Pengecualian diberikan untuk peperiksaan antarabangsa dan badan profesional serta aktiviti penyelidikan yang memerlukan penggunaan makmal.

Pelajar dikehendaki memberikan surat dari Kementerian Pengajian Tinggi atau institut bagi tujuan pergerakan.

Pelajar yang berada di asrama dibenarkan terus berada di asrama dan mengikuti pembelajaran hibrid.

Tabika, taska dan pusat perkembangan minda tidak dibenarkan beroperasi kecual untuk anak-anak kepada ibu bapa dan penjaga petugas barisan hadapan atau bekerja dalam perkhidmatan penting. – 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen