Bimbang kesan Covid-19, ramai ibu hamil mula ambil vaksin


Ragananthini Vethasalam

KKM melaporkan sebanyak 70 kes kematian membabitkan ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan dari Mac 2020 sehingga 8 Ogos lalu. – Gambar AFP, 2 September, 2021.

SEMAKIN ramai ibu hamil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk melindungi diri dan kandungan mereka, selepas banyak kes kematian membabitkan golongan itu dilaporkan.

Mereka juga lebih banyak duduk di rumah untuk mengelak risiko jangkitan, kata ibu hamil yang ditemu bual The Malaysian Insight.

Shazanah Filzah Ishak, 33, berkata laporan mengenai komplikasi serius terhadap ibu hamil akibat Covid-19 sehingga menyebabkan kematian begitu merunsingkan.

“Saya jadi lebih risau. Mujurlah sekarang saya bekerja dari rumah. Setidak-tidaknya saya rasa lebih tenang dan selamat,” kata pensyarah dari Shah Alam itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu lalu berkata sebanyak 70 kes kematian membabitkan ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan dari Mac 2020 sehingga 8 Ogos lalu. 

Menurutnya, sebanyak 3,396 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil di negara ini dilaporkan dalam tempoh berkenaan, iaitu hampir satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid- 19.

Shazana yang sedang hamil 30 minggu sudahpun lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19. Dos kedua vaksin diterimanya pada 13 Julai lalu.

“Pada mulanya saya ambil masa yang lama untuk buat keputusan, hendak ambil vaksin atau tidak. Tapi selepas saya timbang segala kebaikan dan keburukannya, saya ambil juga,” katanya.

Keputusan itu juga dibuat selepas mendapatkan nasihat pakar sakit puan, tambahnya.

“Respon dari pakar sakit puan sangat membantu, dan beliau banyak memberi sokongan. Walaupun sudah divaksin saya masih perlu patuh pada SOP (prosedur operasi standard). 

“Memanglah saya duduk di rumah saja, tetapi selepas terima dua dos vaksin saya rasa lebih selamat. Lagipun, anak saya yang sulung baru berumur 4 tahun,” jelas Shazana.

Selain membuat persiapan untuk menyambut kelahiran bayinya, ibu muda itu juga memastikan beliau tidak terlepas pemeriksaan rutin di hospital swasta dan klinik kesihatan kerajaan.

Shazana berkata beliau masih menimbang sama ada untuk bersalin di hospital kerajaan atau swasta.

“Tetapi kalau lihat jumlah kes sekarang masih tinggi, saya mungkin akan ke hospital swasta.”

Seorang lagi ibu hamil, Nur Yasmin Malik, 35, berkata beliau menjalankan perniagaan dari rumah bersama suaminya dan keluar apabila perlu sahaja.

Kebanyakan urusan di luar dilakukan suaminya, sementara beliau menguruskan pembelian secara dalam talian.

Nur Yasmin yang berasal dari Sungai Buloh juga berkata beliau mahu bersalin di Hospital Putrajaya walaupun terletak jauh dari rumahnya, kerana jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu jauh lebih rendah berbanding hospital berdekatan.

“Saya sudah terima dos pertama vaksin. Mulanya, saya bimbang vaksin akan beri kesan kepada bayi. Pada masa yang sama saya juga risau risiko dijangkiti.

“Selepas merujuk doktor pakar, saya disarankan supaya ambil vaksin Pfizer kerana ia tidak akan menjejaskan bayi,” katanya.

Nur Yasmin menambah, beberapa rakannya yang sedang hamil juga mula mendapatkan suntikan vaksin susulan kematian penyanyi Siti Sarah Raisuddin pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu “Kesetiaan” itu meninggal dunia selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan kandungannya yang berusia tujuh bulan. Pembedahan dijalankan selepas beliau kritikal akibat jangkitan. – 2 september, 2021.    

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen