Ebit Lew akui disiasat polis kes gangguan seksual


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ebit Lew hari ini hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya. – Gambar fail The Malaysian, 19 Ogos, 2021.

PENDAKWAH terkenal Ebit Lew mengesahkan beliau hadir ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya.

Ebit Lew memberitahu The Malaysian Insight, dakwaan mengaitkannya itu hanyalah satu fitnah dan menambah beliau hadir untuk siasatan tersebut sebagai saksi kes.

“Ini fitnah yang kejam dan melampau, saya reda… Saya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap pertuduhan gosip di luar sana.

“Bagaimanapun saya serahkan segala-galanya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Aktivis kebajikan itu juga menganggap siasatan tersebut sebagai cabaran yang membuatkannya lebih bersemangat untuk membantu golongan susah.

“Saya akan teruskan kebaikan ini sampai bila-bila, sampai mati,” tambahnya.

Menurutnya, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman mengambil masa lebih satu jam untuk merakam kenyataannya.

“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya lagi.

Ebit Lew diwakili peguam Hasnal Rezua Merican yang berkata polis setakat ini memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil pendakwah itu semula.

Siasatan tersebut disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan yang berkata rakaman percakapan itu bagi membantu siasatan berkenaan dakwaan gangguan seksual.

Polis menyiasat mengikut tiga undang-undang termasuk Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, katanya.

“Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan juga arahan lanjut.

“Justeru itu, PDRM memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus,” katanya melalui kenyataan media.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan apa jua bahan mengenai kes tersebut yang boleh menjejaskan siasatan pasukannya. – 19 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen