Kes Iki Putra bukan kemenangan gay, kata peguam


KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan mengenai satu penghakiman Mahkamah Syariah ke atas satu kes seks luar tabii bukan satu kemenangan golongan gay, kata seorang peguam.

Pada masa sama, keputusan membenarkan usul mencabar undang-undang jenayah seks luar tabii juga tidak semestinya menunjukkan perundangan syariah tewas, kata Aidil Khalid.

Jelasnya, ini kerana penghakiman Mahkamah Persekutuan antara lain berkait dengan kebimbangan ketidak adilan yang mungkin berlaku jika keputusan Mahkamah Syariah tidak dibatalkan.

Aidil merujuk penghakiman oleh salah seorang panel hakim, Azahar Mohamed yang antara lain menyebut mengenai pertindihan bidang kuasa mahkamah, perbezaan kesalahan dan kuantum hukuman.

Jelasnya, Azahar mengambil kira bahawa kes tersebut melibatkan seks berkumpulan oleh empat lelaki, melibatkan tiga lelaki bukan Islam dan juga pemohon yang merupakan penganut Islam.

“Yang seorang itu, jika dipertuduhkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah, hanya boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara, denda tidak melebihi RM5,000 atau disebat Syariah tidak lebih dari enam kali.

“Sedangkan bagi tiga orang lelaki yang bukan Islam itu pula, mereka tidak boleh dituduh di Mahkamah Syariah,” katanya.

Namun tiga lelaki bukan Islam itu berdepan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan – penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan.

“Atas alasan ini, Yang Amat Arif berpandangan bahawa bidangkuasa untuk membicarakan dan menghukum kesalahan dalam jenayah liwat, adalah terletak kepada Mahkamah Sivil, dan bukan Mahkamah Syariah.

“Bahkan beliau turut menekankan, bahawa undang-undang Islam turut boleh dikuatkuasakan di peringkat persekutuan, oleh Parlimen (dan bukan sekadar peringkat negeri semata-mata),” katanya.

Terdahulu hari ini Mahkamah Persekutuan ke atas permohonan oleh pesalah kes tersebut, Iki Putra Mubarrak yang didakwa melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain pada November 2018.

Lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Panel sembilan hakim memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sewaktu menyampaikan penghakiman berkata, Seksyen 28 belum digubal oleh badan perundangan negeri Selangor secara sah.

Undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen berkenaan hanya boleh digubal melalui Parlimen, katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 25 Mei tahun lalu membenarkan permohonan lelaki tersebut untuk mencabar Sekyen 28.

Dalam hujahannya, peguamnya menyebut badan perundangan Selangor tiada kuasa untuk menggubal peruntukan bagi kes seks luar tabii kerana ia terletak dalam Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa eksekutif untuk menggubal undang-undang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, kata peguam.

Mengikut Seksyen 28, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau tidak lebih enam sebatan, atau dengan mana-mana kombinasi hukuman.

Kesalahan sama mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan pula boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. – 25 Februari, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen