PEMIMPIN pembangkang Sarawak menyelar Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid yang dilaporkan memberi amaran kepada guru serta pegawai Kementerian Pendidikan supaya tidak menyokong pembangkang.
Mahdzir yang dipetik sebuah akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah hari ini berkata tindakan disiplin akan dikenakan sekiranya mereka menyokong pembangkang.
“Ini bertentangan dengan hak demokrasi individu untuk menyokong mana-mana parti politik pilihannya,” kata Ketua PKR Sarawak Baru Bian.
Amaran Mahdzir itu katanya sama seperti mengugut dan ianya salah.
“Saya mungkin setuju kenyataan bahawa seseorang tidak dibenarkan mengkritik kerajaan semasa secara terbuka dan seperti ditetapkan dalam Perintah-perintah Am,tetapi mengugut guru supaya tidak menyokong pembangkang memang melanggar Perlembagaan,” kata adun Ba Kelalan itu.
“Kalau tak silap, Perintah-perintah Am (kerajaan) membenarkan pegawai tertentu pada gred tertentu menyertai mana-mana parti politik pilihan mereka.
“Menteri nampaknya tak tahu perbezaan antara parti politik dengan kerajaan hari ini.
“Beliau menteri politik yang keliru.”
Sementara itu, Kelvin Yii dari DAP Sarawak berkata amaran Mahdzir itu “tidak berperlembagaan kerana ia melanggar hak serta kebebasan setiap rakyat Malaysia, termsauk guru dan penjawat awam.
“Tiada kesetiaan membuta tuli dalam sebuah negara demokrasi dan ugutan seperti itu menunjukkan kerajaan Barisan Nasional mengabaikan hak asasi setiap warganegara,” kata Kelvin Yii.
Belia berkata, penjawat awam termasuk guru adalah tulang belakang bagi setiap jabatan dan kementerian, dan tanggungjawab mereka ialah untuk kepentingan rakyat Malaysia, bukan untuk parti politik termasuk kerajaan yang memerintah.
Mahdzir turut dilaporkan berkata tindakan penjawat awam yang menyertai mana-mana parti pembangkang sama seperti sabotaj dan merosakkan imej kerajaan. – 19 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan