Salinan surat Istana Negara dah baca ke belum, Azalina tanya Rashid


Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said di Twitter malam tadi memuat naik pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jun lalu. – Gambar Twitter, 13 Ogos, 2021.

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mengingatkan rakan sejawatannya Mohd Rashid Hasnon mengenai sepucuk surat dari Istana Negara, yang meminta pengesahan majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Azalina berkata beliau dan Rashid juga menerima salinan surat bertarikh 9 Ogos yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Rashid semalam dipetik portal The Vibes berkata beliau tidak tahu menahu mengenai surat tersebut.

Beliau juga dipetik sebagai berkata semua urusan Parlimen termasuk sokongan majoriti akan dilaporkan oleh perdana menteri kepada Yang d-Pertuan Agong, bukan speaker Dewan Rakyat.

Dalam catatannya di Twitter malam tadi, Azalina mempersoalkan kenyataan Rashid.

Beliau juga memuat naik gambar pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Jun lalu.

“YB, bukan kita jumpa YDPA ramai-ramai pada 29 Jun 2021 ke?

“Surat bertarikh 9 Ogos 2021 salinannya kepada kita berdua, dah baca ke belum @hjrashidjohor?,” katanya. – 13 Ogos, 2021.  

Yang di-Pertuan Agong dilaporkan memanggil menghadap Azhar, Azalina dan Rashid serta Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan timbalannya Mohamad Ali Mohamad pada 29 Jun lalu. Selepas pertemuan tersebut, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Beberapa laporan berita menyebut surat ditandatangani Ahmad Fadil Shamsuddin itu meminta Azhar mengesahkan jumlah sebenar sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap Muhyiddin.

Dalam laporan The Vibes semalam, Rashid terkejut mengenai surat berkenaan.

“Tidak ada duluan di mana Agong akan berkomunikasi secara langsung dengan speaker mengenai hal ehwal Parlimen,” katanya dipetik portal itu.

“Sebab itu saya kena tanya tentang laporan yang membuat dakwaan seperti itu, kerana bagaimana Yang di-Pertuan Agong boleh terus bertanya kepada Yang di-Pertua?

“Mengikut prosedur, ketika Parlimen bersidang, apa sahaja yang berlaku di dalam Dewan, ketua Dewan Rakyat (perdana menteri) akan melaporkan sendiri kepada Agong, termasuk sokongan majoritinya,” jelasnya. – 13 Ogos, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen