Istana Negara mahu Azhar dedah sokongan PM, kata laporan 


Menurut beberapa laporan, Istana Negara meminta Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memberikan jumlah terkini ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2021.

ISTANA Negara meminta Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk mengesahkan sokongan Parlimen terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut beberapa laporan.

Menurut laporan itu, sumber yang enggan identitinya didedahkan mendakwa pihak Istana menulis surat kepada Speaker pada Isnin dan meminta jumlah terkini ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

“Ia berikutan lebih ramai ahli Parlimen Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin,” kata sumber berkenaan.

Pada Isnin, Umno mendedahkan dua surat yang dihantar parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mendedahkan nama ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Surat berkenaan menyatakan, 15 ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan pentadbirannya secara umum atau akuan bersumpah.

Ini akan menyebabkan Muhyiddin mempunyai minoriti 100 ahli Parlimen dalam 222 kerusi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak mengesahkan sama ada Azhar sudah menerima surat berkenaan.

Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata portal berita Malaysiapost menyiarkan artikel yang mendakwa Speaker telah menjawab kepada Parlimen dan mengakui PM hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Artikel itu mendakwa, dalam surat Azhar kepada Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata Muhyiddin hanya mempunyai sokongan 100 ahli Parlimen selepas peletakan jawatan menteri pengajian tinggi Noraini Ahmad.

Asyraf mencabar Azhar untuk menafikan laporan bahawa beliau menghantar surat kepada Agong.

Bekas perdana menteri Najib Razak turut mempersoalkan sama ada Azhar telah menghantar surat kepada Agong memaklumkan Muhyiddin hanya ada sokongan 100 ahli Parlimen. – 12 Ogos, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen