Muhyiddin mengadap Agong 11 pagi, kata sumber


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melambai kepada petugs media ketika keluar dari kediamannya di Damansara pagi ini. Beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pukul 11 pagi ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet pada tengah hari,  kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan majlis mengadap ditetapkan pada 11 pagi sementara Jemaah Menteri bermesyuarat pada 12 tengah hari.

“Kedua-duanya berlangsung secara semuka,” kata sumber di Putrajaya.

Kenderaan yang membawa perdana menteri dilihat memasuki kawasan Istana Negara lebih kurang 10.50 pagi dan keluar kira-kira sejam kemudian.

Seorang pegawai menteri kabinet turut mengesahkan mesyuarat Jemaah Menteri akan berlangsung pada tengah hari selepas Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Awal hari ini, Bernama melalui Twitter melaporkan kenderaan yang membawa Peguam Negara Idrus Harun dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara pada 9.30 pagi.

Majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini adalah jadual rutin perdana menteri setiap minggu sebelum mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, yang biasanya diadakan pada Rabu.

Majlis mengadap hari ini bagaimanapun berlangsung selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Zahid mendakwa Muhyiddin hilang majoriti untuk terus kekal menerajui kerajaan.

The Malaysian Insight bagaimanapun difahamkan setakat ini belum ada bukti jelas Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat ketika tiada juga mana-mana pihak yang mempunyai majoriti jelas.

Umno mempunyai 38 wakil daripada 220 anggota Dewan Rakyat. Dua kerusi kosong susulan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi dan Ahli Parlimen Gerik.

Malam tadi, Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dilapor berkata kerajaan Muhyiddin tidak terjejas biarpun beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Zahidi menyertai beberapa ahli Parlimen Umno yang cenderung bersama kerajaan Muhyiddin dalam satu pertemuan tertutup bersama Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Hotel Seri Pacific selepas tengah malam tadi.

Ismail Sabri sebelum itu hadir ke kediaman peribadi Muhyiddin di Bukit Damansara, bersama beberapa pemimpin kanan parti-parti dalam PN, antaranya Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC S Vigneswaran juga hadir, selain peguam negara.

Mereka beredar dari rumah Muhyiddin tidak lama selepas tengah malam.

Sementara itu, media melaporkan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia Zamri Yahya bersama Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pagi ini.

The Malaysian Insight sudah menghubungi pejabat Ketua Setiausaha Negara dan masih menunggu pengesahan. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen