Pemimpin Perikatan, peguam negara di rumah Muhyiddin malam ini


Noel Achariam

MPV milik Peguam Negara Idrus Harun dilihat memasuki kawasan perumahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Ogos, 2021.

PEMIMPIN kanan Perikatan Nasional berada di kediaman peribadi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur malam ini, tidak lama selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan.

Mereka disertai Peguam Negara Idrus Harun yang dilihat tiba di kediaman, yang terletak di Bukit Damansara di pinggir ibu negara, pada 8.20 malam.

Bernama melaporkan di Twitter, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di kediaman Muhyiddin pada 8.55 malam.

Sebelum itu sebuah kereta berwarna putih membawa Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tiba pada 8.35 malam, diikuti naib presiden Bersatu Ronald Kiandee lima minit kemudian.

Wartawan The Malaysian Insight yang berada di lokasi juga melihat kenderaan dipercayai membawa timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden MIC SA Vigneswaran masuk ke kawasan kediaman.

Kenderaan yang membawa Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali turut kelihatan memasuki perkarangan rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Ogos, 2021.

Menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali juga difahamkan berada di kediaman Muhyiddin.

Tidak seorang pun dalam kalangan mereka yang berhenti untuk bercakap dengan pemberita yang berhimpun di perkarangan kawasan kediaman itu sejak lewat petang tadi.

Kediaman Muhyiddin jadi perhatian selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi petang tadi mengumumkan Umno sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimen parti itu kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Pengumuman dibuat selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno secara dalam talian petang tadi.

Timbalan Presiden Bersatu tiba di perkarangan pintu masuk untuk ke rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Ogos, 2021.

Pengumuman Zahid disertai 10 ahli Parlimen Umno termasuk perdana menteri Najib Razak (Pekan), pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan setiausaha agung Umno Ahmad Maslan (Pontian).

Mereka yang lain ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Abdul Azeez Rahim (Baling), Noh Omar (Tanjung Karang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Mohd Nizar Zakaria (Parit) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub yang sudah mengumumkan penarikan sokongannya kepada kerajaan Muhyiddin pada 9 Januari lalu juga hadir.

“(Muhyiddin) sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan dengan ini terbatal,” kata Zahid, dengan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berdiri di tepinya.

Pengumuman Zahid berlangsung tidak lama selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah mengeluarkan kenyataan bertulis letak jawatan menteri kabinet Muhyiddin. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen