PAS buat mesyuarat tergempar selepas PM hilang sokongan, kata laporan


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya akan adakan mesyuarat tergempar hari ini selepas Umno mengumumkan penarikan sokongan terhadap perdana menteri Muhyiddin Yassin dan gabungan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

PAS akan mengadakan mesyuarat tergempar selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan, menurut laporan berita.

Bercakap kepada Free Malaysia Today hari ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mesyuarat itu diadakan selepas Umno mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin.

“Kita akan adakan mesyuarat segera,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air itu yang pada dua minggu lepas menyatakan sokongannya terhadap Muhyddin sebagai perdana menteri.

PAS, yang mempunyai 18 ahli Parlimen, merupakan salah satu parti pengasas gabungan Perikatan Nasional.

Awal hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimennya kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Zahid diapit 10 ahli Parlimen Umno yang dikatakan menarik balik sokongan mereka, antaranya bekas perdana menteri Najib Razak (Pekan), pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan (Pontian).

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang juga ahli Parlimen Pengerang turut hadir semasa pengumuman Zahid.

Ahli-ahli Parlimen Umno yang lain ialah Abdul Azeez Rahim (Baling), Noh Omar (Tanjung Karang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Mohd Nizar Zakaria (Parit) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub yang sudah mengumumkan penarikan sokongannya kepada kerajaan Muhyiddin pada 9 Januari lalu juga hadir.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang bukan ahli Parlimen berdiri di sebelah Zahid.

Muhyiddin sebelum ini dikatakan mempunyai 115 sokongan di Dewan Rakyat namun tidak pernah diuji keabsahannya. Umno mempunyai 38 wakil di Dewan Rakyat.

Dengan penarikan 11 ahli Parlimen Umno akan meninggalkan perdana menteri berusia 74 tahun itu dengan hanya 104 kerusi. Kesemua ahli Parlimen yang disebut di atas tidak termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah yang meletak jawatan kabinet Muhyiddin petang tadi. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen