PAS tetap sokong Muhyiddin


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebarang cubaan bermain politik perlu ditolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

PAS masih menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin walaupun ada desakan daripada pihak pembangkang agar ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan.

“PAS bersama perdana menteri dan akan mempertahankan sebarang keputusan Kabinet,” kata timbalan presiden parti Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kita perlu menolak sebarang percubaan bermain politik ketika negara ini bergelut mengekang pandemik Covid-19.”

Desakan lantang agar Muhyiddin mengundurkan diri hari ini susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara yang Agong tidak dimaklumkan mengenai pembatalan ordinan darurat.

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan daripada PAS juga tidak terkecuali kerana beliau mengumumkan kepada Parlimen pada Isnin mengenai pembatalan itu.

Yang di-Pertuan Agong meluahkan dukacita dengan pengumuman kerajaan membatalkan ordinan darurat pada 21 Julai tanpa perbahasan di Parlimen.

Baginda juga berkata tidak dimaklumkan mengenai niat kerajaan untuk membatalkan ordinan tersebut.

Agong juga berkata kerajaan tergesa-gesa membatalkan ordinan tanpa membahaskannya di Parlimen sebagai tidak menghormati prinsip undang-undang, dan tidak mengambil kira kuasa Perlembagaan dan peranan Agong. – 29 Julai, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen