Susah nak percaya Parlimen tangguh sebab Covid-19, kata Najib


Najib Razak mempersoalkan penutupan Parlimen hanya disebabkan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

NAJIB Razak mempersoalkan kewajaran kerajaan menggunakan penularan Covid-19 sebagai alasan untuk menangguhkan mesyuarat khas Parlimen yang sepatutnya bersambung esok.

Katanya, alasan itu sukar untuk dipercayai kerana sebelum ini pusat pemberian vaksin Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (PPV IDCC) pun hanya tutup sehari selepas 204  petugasnya diumumkan positif Covid-19 pada 12 Julai.

“Pada 12 Julai, 204 petugas disahkan positif Covid di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam. PPV ditutup sehari dan dibuka semula pada 14 Julai.

“Manakala 11 individu dikesan positif daripada 1,183 saringan di parlimen pada hari Khamis.

“Jadi, ianya amat sukar bagi sesiapa untuk percaya bahawa PPV yang melibatkan puluhan ribu orang awam dibenarkan beroperasi semula hanya dua hari selepas 204 petugas dikesan positif tetapi parlimen pula perlu ditutup bagi tempoh yang tidak lagi diketahui,” tanyanya.

Semalam, Setiausaha Parlimen Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan kepada ahli parlimen bahawa sidang pada Isnin ditangguhkan “ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak” atas arahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana Parlimen dianggap kawasan berisiko jangkitan Covid-19.

Jelas Najib, menggunakan contoh langkah yang dibuat semasa penularan Covid-19 di PPV IDCC, Parlimen sepatutnya sudah boleh dibuka semalam (Sabtu).

“Jadi, kenapa sesi pada hari Isnin dibatalkan juga?

“Adakah kerajaan percaya bahawa nyawa 220 ahli parlimen lebih mahal berbanding ribuan orang awam yang lawat ke PPV Shah Alam tiap-tiap hari?” 

Parlimen Malaysia masih ditutup ketika negara bergelut dengan krisis wabak Covid-19 sejak lebih setahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

Bekas perdana menteri juga mempersoalkan ancaman sebenar penularan Covid-19 di Parlimen, ketika Kementerian Kesihatan dilihat berdiam diri terhadap menteri dan ahli parlimen kerajaan yang meninggalkan Parlimen tanpa saringan pada Khamis untuk ke rumah Muhyiddin.

Najib berkata Muhyiddin sepatutnya berani menghadapi Dewan Rakyat kalau benar beliau ada sokongan untuk terus jadi perdana menteri dan menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Andainya benar bahawa PM8 ada sokongan “cukup dan jitu” 110 ataupun 115 ahli parlimen maka kerajaan PN sepatutnya membenarkan ordinan-ordinan darurat dibahas dan diundi dalam Dewan.

“Bukan tiba-tiba menipu dalam dewan bahawa ianya sudah back-date batal yang akhirnya membawa kepad kemurkaan YDP Agong.

“Dan sekiranya benar bahawa PM8 ada sokongan cukup dan jitu, PM8 tak akan hilang diri sejak memberi sesi penerangannya pada hari Isnin,” katanya.

Kes Covid-19 Malaysia naik mendadak sejak beberapa bulan lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

Muhyiddin hadir di Dewan Rakyat pada pagi Isnin untuk memberi penerangan tentang pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19.

Beliau bagaimanapun menyerahkan tugas menjawab pertanyaan-pertanyaan ahli parlimen pada sebelah petang kepada menteri penyelaras pelan pemulihan negara Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Mesyuarat khas Parlimen yang sepatutnya bersambung Isnin ditangguhkan ketika Putrajaya dilihat bertembung pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong berhubung cara pemansuhan ordinan darurat.

Yang di-Pertuan Agong pada pagi Khamis menegur kerajaan dan secara khusus menyebut menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberitahu ordinan darurat sudah terbatal sejak 21 Julai.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebaliknya tidak pernah memberi perkenan kepada pembatalan itu dan mahu ia dibahas dan diputuskan di Parlimen.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada petang Khamis berkata kerajaan mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong tertakluk pada nasihat Jemaah Menteri. – 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen