Angka kematian Covid-19 lepasi 9,000 kes


Aminah Farid

Jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 di negara ini kini sebanyak 9,024 selepas 165 kes kematian dilaporkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.

NEGARA sekali lagi mencatat angka kematian tertinggi Covid-19 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 9,024 selepas 165 kes kematian dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat dari 1,043 semalam kepada 1,062 dengan lebih separuh atau seramai 534 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu Noor Hisham berkata, negara juga mencatat 11,718 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 914,639 kes.

Kematian dilaporkan hari ini melibatkan Selangor dengan 52 kes, Johor (30), Negeri Sembilan (23), Kedah (18), masing-masing sembilan kes di Sabah dan Kuala Lumpur, Pulau Pinang (7), Melaka (4), masing-masing tiga kes di Perak, Terengganu dan Sarawak, Pahang (2) dan masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis.

Tambahnya, 12 kes maut sebelum tiba di hospital.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 260 kes atau 1.5% berada dalam Kategori 3 (radang paru-paru), Kategori 4 (memerlukan oksigen) dan Kategori 5 (kritikal).

Sejumlah 17,526 kes lagi atau 98.5% berada dalam Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan).

Bagi kadar jangkitan, Dr Noor Hisham berkata, purata nilai Rt negara adalah 1.12 setakat semalam.

“Negeri yang mencatat nilai Rt tertinggi ialah Terengganu (1.29), diikuti Kelantan (1.25) dan Sabah.

“Semua negeri mencatatkan Rt melebihi 1.0 kecuali Labuan, Perlis dan Negeri Sembilan,” katanya. – 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen