Pecah rekod lagi, 17,786 kes baharu, 47% di Lembah Klang


Aminah Farid

Data terbaru itu menjadikan negara kini mempunyai jumlah kes Covid-19 terkumpul sebanyak 1,113,272 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.

MALAYSIA melaporkan kes harian Covid-19 tertinggi terbaru sebanyak 17,786 kes sejak pandemik bermula tahun lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata 8,362 atau 47% kes dikesan di Lembah Klang dengan Selangor melaporkan 6,400 kes dan Kuala Lumpur dengan 1,962 kes.

Menurutnya, data terbaru itu menjadikan negara kini mempunyai jumlah kes Covid-19 terkumpul sebanyak 1,113,272 kes.

Sementara itu, Kedah melaporkan 1,389 kes, diikuti oleh Johor (1,114), Sabah (1,035), Negeri Sembilan (929), Terengganu (883), Perak (775), Penang (713), Melaka (697), Pahang (653), Kelantan (580), Sarawak (485), Putrajaya (116), Perlis (16) dan Labuan (9),

Untuk hari kelima berturut-turut, Kementerian Kesihatan semalam sudah memberikan lebih setengah juta dos vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 berkata, seramai 315,737 orang sudah menerima dos pertama mereka semalam dan seramai 196,360 sudah menerima dos kedua.

Selangor memberikan suntikan vaksin paling banyak berbanding negeri lain dengan 159,641 suntikan di mana 93,290 merupakan dos pertama.

Di Lembah Klang, seramai 2.1 juta orang sudah menerima vaksin sepenuhnya dan 5.5 juta menerima dos pertama mereka.

Labuan pada Selasa menjadi negeri dan wilayah persekutuan pertama mencapai imuniti kelompok dengan 80% atau 54.800 dari populasi golongan dewasa yang diberi vaksin sepenuhnya.

Kerajaan menyasarkan untuk memvaksinasi 100% populasi dewasa menjelang Oktober. – 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen