Kes Covid-19 di ICU naik kepada 1,055, kata KP kesihatan


Aminah Farid

Jumlah pesakit Covid-19 ditempatkan di ICU naik kepada 1,055 hari ini di mana 532 memerlukan alat bantuan pernafasan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2021.

JUMLAH pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 1,055 hari ini di mana 532 memerlukan alat bantuan pernafasan, kata Ketua Pengarah Kesihatan hari ini.

Semalam negara melaporkan 1,043 pesakit ditempatkan di ICU.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini jumlah kematian dilaporkan sebanyak 134, menjadikan jumlah keseluruhan maut sebanyak 8,859.

Tambahnya, jumlah kes aktif juga meningkat kepada 183,706 selepas negara melaporkan 16,840 jangkitan baharu hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kematian hari ini dilaporkan di Selangor (35), Melaka (17), masing-masing 15 kes di Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing 12 kes di Kedah dan Perak, Kuala Lumpur (10), Sabah (enam), Terengganu (lima), Pahang (empat), Kelantan (dua) dan Pulau Pinang (satu).

Katanya, daripada jumlah itu sembilan disahkan maut sebelum sampai di hospital.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, 284 kes atau 1.7% hari ini dalam Kategori 3 (radang paru-paru), Kategori 4 (memerlukan oksigen) dan Kategori 5 (kritikal).

Sebanyak 16,556 kes atau 98.3% berada dalam Kategori 1 (tanpa gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan).

Dr Noor Hisham berkata secara puratanya kadar jangkitan di Malaysia berada pada nilai RT 1.15 setakat semalam.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (nilai RT 1.36) diikuti oleh Kelantan (nilai RT 1.27), dan Sabah (nilai RT 1.22). 

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Perlis,” katanya. – 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen