Upah tidak sejajar dengan inflasi pada 2018, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Sesetengah pekerja akan menikmati kenaikan upah pada kadar yang lebih baik, tetapi bagi purata pekerja makan gaji, ini satu lagi tahun yang akan menyaksikan pertumbuhan upah perlahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2018.

UPAH yang tidak naik selaras dengan kadar inflasi dijangka akan berterusan tahun ini, kata seorang pakar ekonomi, walaupun kenaikan harga barang akan lebih rendah pada 2018 berbanding tahun lalu.

Pakar ekonomi Azrul Azwar Tajuddin berkata pada 2017 kadar inflasi atau kadar harga barangan dan perkhidmatan meningkat, mencecah purata 4%.

Namun menurut perunding pengurus global Korn Ferry Hay Group (Korn Ferry), purata upah meningkat hanya 1.3%.

Pada 2018, Azrul dari firma perunding Jasmiza Solutions menganggarkan inflasi akan berada pada purata di bawah 3.5%.

“Sesetengah pekerja akan menikmati kenaikan upah pada kadar yang lebih baik. Tetapi bagi purata mereka yang makan gaji, ini satu lagi tahun yang akan menyaksikan pertumbuhan upah yang perlahan tidak setanding dengan inflasi,” kata Azrul kepada The Malaysian Insight. 

Harga barangan makanan juga dijangka kekal tinggi ekoran kenaikan harga minyak walaupun kadar inflasi lebih rendah, katanya.

Korn Ferry menganggarkan purata gaji akan naik pada kadar 3.2% pada tahun ini.

“Antara masalah pada 2018 ialah kita dijangka akan melihat antara 30,000 hingga 50,000 orang hilang pekerjaan,” katanya memetik angka daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Apabila itu berlaku akan ada banyak pekerja dalam pasaran bersaing dengan pekerja baharu seperti lepasan sekolah dan graduan yang mencari kerja.”

Dalam keadaan itu, majikan akan lebih berpengaruh untuk menentukan upah kerana adanya jumlah besar mereka yang menganggur.

Pakar ekonomi Azrul Azwar Tajuddin berkata upah yang tidak naik selaras dengan kadar inflasi dijangka berterusan tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Januari, 2018.

Walaupun kerajaan mendakwa 300,000 pekerjaan baru akan diwujudkan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian, Azrul mempersoalkan sama ada mereka yang dibuang kerja akan mendapat peluang.

“Persoalannya adakah mereka yang dibuang kerja mempunyai kemahiran tertentu untuk pekerjaan baharu itu? Adakah mereka menjalani latihan semula atau kemahiran baru?

“Apakah jumlah pekerjaan baru ini mencukupi untuk mereka yang dibuang kerja dan pekerja baharu seperti lepasan sekolah?” Tanyanya.

Antara industri yang dijangka stabil pada 2018 dan mungkin menikmati kenaikan upah ialah perkhidmatan perbankan dan kewangan, pembinaan, pertanian serta perniagaan teknologi dan e-dagang, kata Azrul.

Sementara itu, industri yang dijangka mengalami kelembapan akibat ringgit yang mengukuh termasuk pembuatan berasaskan eksport dan pelancongan domestik.

Pada masa yang sama, sektor minyak dan gas tidak menunjukkan tanda-tanda pulih semula walaupun harga minyak mentah global meningkat sementara sektor hartanah akan mengalami lambakan hartanah mewah dan komersial.

Industri seperti makanan, produk rawatan diri, rawatan kesihatan, pendidikan, telekomunikasi, penyelenggaraan dan baik pulih, barangan terpakai dan teknologi hijau dijangka kekal stabil, kata Azrul. – 18 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen