Amanah tuntut Muhyiddin bertanggungjawab kerana derhaka kepada Agong


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri dilihat cuba menegakkan benang yang basah menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin  mempamerkan keangkuhan beliau terhadap teguran dan pandangan Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataannya semalam bahawa Putrajaya melakukan dengan teratur dalam soal pembatalan Ordinan Darurat, kata Mohamad Sabu. 

“Amanah menuntut Muhyiddin bertanggungjawab terhadap tindakan penderhakaan kepada Agong dan atas segala kecurangan Jemaah Menteri terhadap keluhuran perlembagaan persekutuan dan institusi Parlimen.

“Oleh itu, Amanah menuntut Muhyiddin dan seluruh anggota kabinetnya untuk meletak jawatan serta merta dan memohon sembah ampun dari baginda,” katanya dalam satu kenyataan. 

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata pihaknya bertindak mengikut undang-undang dalam membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai.

Kenyataan itu menyebut keputusan pada awalnya dibuat oleh Kabinet pada 21 Julai untuk tidak melanjutkan perintah darurat apabila ia tamat pada 1 Ogos.

“Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.”

Deraf pembatalan ordinan itu diterima pada 22 Julai dan seterusnya pada 23 Julai, perdana menteri mengutuskan warkah pada 23 Julai bagi memaklumkan baginda, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun menurut Agong, baginda belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu dan pengumuman Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan itu menyebabkan kekeliruan dalam kalangan ahli Parlimen. 

Baginda juga menyatakan bahawa kenyataan Takiyuddin di Dewan Rakyat Isnin lalu tidak tepat. 

Takiyuddin pada Isnin lalu mengumumkan Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh kerajaan berkuatkuasa 21 Julai. Beliau berkata keputusan itu dibuat mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. 

Mohamad Sabu berkata kenyataan Muhyiddin seolah-olah membayangkan bahawa Agong tidak memahami keadaan sebenarnya dan tersilap apabila menyatakan baginda amat dukacita dengan tindakan Jemaah Menteri. 

Beliau berkata sebaliknya Muhyiddin kemudian cuba menyalahkan pembangkang berhubung situasi itu. 

“Hakikatnya, dari awal lagi Jemaah Menteri engkar dengan saranan baginda yang telah menitahkan dalam Perutusan Media sejurus selepas Perbincangan Khas Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pada 16 Jun.

“Walaupun akhirnya Parlimen telah mengadakan sidang khas bermula pada 26 Julai lalu, apa yang cuba disembunyikan adalah percubaan Muhyiddin untuk mengelak dari sebarang perbahasan di dalamnya berhubung Ordinan Darurat,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha untuk kekal berkuasa, Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menteri mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara dengan membelakangkan dan menghina institusi Agong, Parlimen serta perlembagaan negara.

“Dalam suasana rakyat sedang berdepan dengan krisis wabak dan ekonomi, Muhyiddin dan seluruh kabinetnya yang terdiri dari ahli Parlimen Bersatu, Umno, PAS, GPS dan lain-lain memilih untuk menimbulkan krisis politik demi menutup kegagalan mereka.”– 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen