174 kematian baharu Covid-19 1,043 di ICU


Aminah Farid

Sebanyak 174 kematian baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini berjumlah 8,725 kes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 174 kematian baharu Covid-19 hari ini sementara seramai 1,043 pesakit kini berada di unit rawatan rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Daripada 1,043 pesakit di ICU, seramai 531 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, sebanyak 179,179 kes aktif direkodkan di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, dengan tambahan 174 kematian hari ini, jumlah kematian keseluruhan kini berjumlah 8,725 kes. 

Kematian hari ini dilaporkan berlaku di Selangor (70), Kuala Lumpur (20), Johor (17), Kedah (17), Melaka (10), Negeri Sembilan (sembilan), Pulau Pinang (sembilan), Sabah (lapan), Terengganu (lapan), Perak (tiga), Kelantan (dua) dan Pahang (satu).

Dari jumlah itu, 23 adalah kes meninggal di luar hospital.

Noor Hisham berkata, negara mencatat 12,930 kes pulih hari ini dengan jumlah terkumpul sebanyak 890,742.

Beliau berkata, dari kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 383 kes atau 2.3% adalah dari Kategori 3 (radang paru-paru), 4 (memerlukan oksigen) dan 5 (keadaan kritikal).

Sebanyak 16,787 kes atau 97.7% adalah dari kategori 1 (asimtomatik) dan kategori 2 (gejala ringan).

Mengenai kadar kebolehjangkitan (RT), Noor Hisham berkata, purata bagi Malaysia adalah 1.16 setakat semalam.

“Negeri yang mencatat nilai RT tertinggi adalah Terengganu (1.33), Kelantan (1.26) diikuti Sabah dan Pulau Pinang (1.25).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Labuan, Perlis dan Negeri Sembilan,” katanya. – 29 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen