Dewan Rakyat kecoh, pembangkang tuntut Muhyiddin letak jawatan


Sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini selepas Istana Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

SIDANG Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini selepas Istana Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat.

Ia bermula apabila ketua pembangkang membacakan kenyataan Istana Negara mengenai kemurkaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas tindak tanduk kerajaan membelakangi kuasa baginda dalam perkara itu.

Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) seterusnya menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menteri hal ehwal Parlimen Takiyuddin Hassan meletak jawatan atas tindakan itu.

“Ini jelas menunjukkan Kabinet diketuai Muhyiddin Yassin melanggar semangat perlembagaan, menghina institusi raja berperlembagaan dan termasuk menteri di jabatan perdana menteri.

“(Tindakan ini) mengelirukan dewan dan tidak bercakap benar serta mengelirukan rakyat  Malaysia.

“Kita tidak ada pilihan selain menuntut perdana menteri meletak jawatan dia,” katanya dan dicelah oleh ahli Parlimen pembangkang lain yang bersetuju dengannya.

Ahli Parlimen pembangkang lain juga bangun menuntut persidangan ditangguhkan agar Muhyiddin dan Takiyuddin dapat tampil untuk menjawab titah baginda itu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon bagaimanapun enggan berbuat demikian sehinggalah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bangun meminta beliau menangguhkan persidangan.

Noh Omar (BN – Tanjung Karang) berkata persidangan perlu ditangguhkan apabila timbul isu kontroversi seperti itu.

Rashid kemudian beralah dan mengumumkan persidangan ditempohkan sehingga jam 1 tengah hari dan akan berlangsung semula pada jam 2.30 petang.

Istana Negara dalam satu kenyataan menyebut, baginda belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu.

Al-Sultan Abdullah juga dukacita kerana kerajaan Muhyiddin Yassin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan.

Kerajaan Perikatan Nasional dipercayai membatalkan ordinan darurat selepas Raja-Raja Melayu menitahkan darurat tidak wajar dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dipercayai membatalkan ordinan tersebut secara senyap-senyap untuk mengelakkan undian di Dewan Rakyat. – 29 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen