2,032 kes baharu babit individu sudah divaksin, kata KP kesihatan


Aminah Farid

Hanya 2,032 atau 11.7% daripada 17,405 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan individu yang sudah menerima suntikan vaksin, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2021.

HANYA 2,032 atau 11.7% daripada 17,405 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan individu yang sudah menerima suntikan vaksin, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, kebanyakan kes adalah dalam Kategori 1 (tidak bergejala) dan Kategori 2 (bergejala ringan). Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pesakit yang dijangkiti sudah lengkap terima dua dos suntikan vaksin atau baru menerima satu dos.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit Kategori 1 dan 2 salah seramai 17,031 orang, manakala 374 kes adalah daripada Kategori 3 (radang paru-paru), 4 (radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen) dan 5 (kritikal dan perlu bantuan pernafasan). 

Terdahulu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Chong Chee Kheong dilaporkan media berkata keberkesanan vaksin mengambil masa dua minggu selepas individu melengkapkan dos kedua.

“Ramai individu tidak bergejala atau bergejala ringan tidak sedar mereka dijangkiti, lalu menyebarkan virus. Perlu diingat, bahawa keberkesanan vaksin mengambil masa dua minggu selepas dos kedua, jadi memerlukan masa untuk bertindak balas,” beliau dipetik berkata.

Kemunculan varian Delta dalam komuniti juga menyumbang kepada peningkatan kes, tambahnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Noor Hisham juga berkata KKM setakat ini telah mengesan 419 kes membabitkan varian membimbangkan (VOC).

VOC yang dikesan itu terdiri daripada 206 kes varian Beta, 199 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha. – 28 Julai, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen