Lebih 90% pesakit Covid-19 hari ini belum divaksin, kata KP kesihatan


Aminah Farid

Berikutan data menunjukkan majoriti pesakit dalam semua kategori belum diberi suntikan vaksin, Dr Noor Hisham menggesa semua orang mendapatkan vaksin agar dapat kurangkan kes jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

SEBAHAGIAN besar 14,516 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan pesakit yang menerima suntikan vaksin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menggesa orang ramai segera dapatkan vaksinasi, sambil menunjukkan data majoriti pesakit dalam semua lima kategori belum divaksin.

“Pesakit Kategori 1 (tiada gejala) merangkumi 49.7% daripada jumlah kes baharu hari ini, di mana 95.6% tidak ada sejarah vaksinasi,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Dalam Kategori 2 (gejala ringan) yang terdiri daripada 48.5% jumlah jangkitan hari ini pula, 87.6% belum mendapatkan suntikan, katanya.

Menurut statistik dimuat naik Dr Noor Hisham, lebih 67% pesakit Kategori 3 (radang paru-paru) masih belum divaksin. Bagaimanapun, Kategori 3 hanya membentuk 0.6% daripada kes baharu dilaporkan hari ini.

Sementara itu, kes dalam Kategori 4 (radang paru-paru dan perlukan oksigen) merangkumi 0.5% daripada kes hari ini di mana 85.7% daripada mereka belum divaksi.

Pesakit dalam Kategori 5 (kritikal dan perlukan alat bantuan pernafasan) merangkumi 0.7% daripada jangkitan baharu hari ini, di mana 97.9% pesakit belum diinokulasi.

“Oleh itu, segeralah dapatkan vaksinasi agar anda dan keluarga terlindung daripada bahaya jangkitan Covid-19,” kata Dr Noor Hisham.

Sebahagian besar kes yang dimasukkan ke hospital hari ini melibatkan Kategori3 hingga 5, manakala pesakit Kategori 1 dan 2 menjalani kuarantin di rumah.

Setakat semalam, 17.2 juta orang telah disuntik vaksin, menjadikan sebanyak 36.1% populasi telah mendapatkan suntikan pertama, manakala 16.9% populasi sudah melangkapkan dua dos. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen