Pecah rekod lagi, 15,902 kes baharu Covid-19 hari ini


Selangor dan Kuala Lumpur terus mendahului kes harian tertinggi, masing-masing dengan 7,351 dan 2,406 kes hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2021.

KES harian Covid-19 terus naik dengan rekod terbaru 15,902 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, sekaligus menjadikan kes terkumpul negara kepada 996,393, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Data terbaru itu menjadikan kes Covid-19 Malaysia kurang 4,000 kes lagi untuk mencecah sejuta kes.

Selangor dan Kuala Lumpur terus mendahului kes harian tertinggi, masing-masing dengan 7,351 dan 2,406 kes.

Ini diikuti Kedah dengan 867 kes, Johor (804), Sabah (712) dan Negeri Sembilan (625).

Jumlah jangkitan hari ini menjadikan jumlah kumulatif Selangor kini sebanyak 358,969 jangkitan, diikuti Kuala Lumpur (108,006) dan Johor (83,308).

Sementara itu, Labuan, Putrajaya dan Perlis terus melaporkan bilangan jangkitan baharu paling sedikit, masing-masing dengan 30, 59 dan tujuh jangkitan hari ini.

Di pantai timur, Kelantan mencatat 502 jangkitan baharu sementara Terengganu dengan 267 dan Pahang 406 kes.

Setakat semalam, negara telah memberikan 462,242 dos vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Sebanyak 301,536 individu diberi dos pertama mereka, sementara 160,706 selebihnya menyelesaikan dos kedua mereka semalam,” katanya.

Jumlah vaksinasi harian terbaru merosot berbanding hari sebelumnya, 507,050 dos, tetapi masih melebihi sasaran 400,000.

Sasaran 400,000 hampir setiap hari sejak 12 Julai berjaya diberi dengan penurunan 299,593 pada 20 Julai, 380,440 pada 17 Julai dan 344,961 pada 18 Julai.

Jumlah vaksin Covid-19 yang diberikan di bawah program vaksinasi kini berjumlah 16.49 juta.

Daripada jumlah ini, 11.22 juta atau 34.4% populasi dewasa sudah diberikan satu dos vaksin sementara selebihnya 5.26 juta atau 16.1% populasi kini mendapat vaksinasi lengkap. – 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen