Ramai pesakit Covid-19 bergejala ringan dan tidak bergejala di Selangor, kata pakar


Bernard Saw

Pakar kesihatan awam berkata, mungkin ada pesakit Covid-19 bergejala ringan dan tidak bergejala langsung di Selangor yang belum disaring serta tidak dapatkan rawatan perubatan sehingga keadaan bertambah buruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2021.

MUNGKIN ada pesakit Covid-19 bergejala ringan dan tidak bergejala langsung di Selangor yang belum disaring serta tidak dapatkan rawatan perubatan sehingga keadaan bertambah buruk, kata pakar kesihatan awam.

Mereka berkata jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan kes kematian meningkat.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman baru-baru ini berkata 65% pesakit Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) negeri itu berada dalam Kategori 1 manakala 20% dalam Kategori 2, dan 15% berada dalam Kategori 3 dan ke atas.

Peratusan pesakit Kategori 3 Covid-19 yang mengunjungi CAC Selangor lebih tinggi berbanding peratusan pesakit Kategori 3 Covid-19 di CAC di negeri-negeri lain.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata beliau bimbang dengan jumlah pesakit dalam Kategori 3 di Selangor.

“Jika 15% dalam Kategori 3 di Selangor, ini bermakna ramai orang bergejala ringan yang tidak melaporkan keadaan mereka atau pun simptom mereka tidak didedahkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lee yakin ada yang pilih untuk jadi pesakit di rumah selepas dijangkiti virus malah hanya akan buat ujian saringan selepas keadaan kesihatan mereka jadi lebih teruk.

“Ini juga akan menyebabkan kes yang lebih teruk disaring di negeri ini. Mereka mungkin berada di tahap pertama dan bertahan di rumah sendiri sehingga keadaan menjadi serius,” katanya.

Lee berkata penting untuk memikirkan keberkesanan langkah-langkah kesihatan awam sedia ada termasuk kemasukan pesakit, ujian saringan, prosedur operasi standard (SOP) untuk pencegahan pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

“Adakah kita bertindak lebih cepat daripada jangkitan virus? Jika tidak, itu akan tambahkan lagi jumlah kes.

“Banyak jangkitan disebarkan oleh orang tanpa gejala yang belum diasingkan atau dikesan,” katanya.

Pakar berkata adalah penting untuk memikirkan keberkesanan langkah-langkah kesihatan awam sedia ada termasuk kemasukan pesakit, ujian saringan, SOP untuk pencegahan pandemik dan perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2021.

Selangor adalah negeri yang paling teruk dilanda jangkitan Covid-19, dengan ramai beratur panjang di CAC.

Jumlah kes yang disahkan dalam satu hari di Selangor dalam seminggu terakhir kekal melebihi 4,000, dan semalam negeri ini mencatat 6,049 jangkitan, antara yang tertinggi.

Minggu lepas, jumlah jangkitan harian Covid-19 di Lembah Klang menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah kes negara.

Lee berkata kadar vaksinasi perlu dipercepatkan lagi di Selangor supaya dapat elak kes teruk dari pesakit tanpa gejala ini.

“Kami sudah kata awal-awal lagi pusat vaksinasi perlu diadakan di Lembah Klang sebab ia kawasan paling teruk dilanda Covid-19.

“Setelah inokulasi selesai di kawasan jangkitan yang teruk, kawasan lain yang terkesan dengan kawasan yang teruk ini boleh dikawal,” kata Lee.

Elak disaring sebab terpaksa beratur panjang

Sementara itu, Profesor Madya Dr Chee Hui Yee, dari fakulti perubatan dan sains kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata, keadaan sesak di CAC akan membuatkan pesakit tanpa gejala atau ada gejala ringan mengelak dari membuat saringan.

“Sebelum ini, anda mungkin akan didenda jika tidak ikut arahan CAC. Tetapi, mungkin sudah tidak ada kakitangan boleh buat perkara serupa sekrang, kerana keadaan serius serius di Selangor.

“Susah untuk dapatkan susulan, jadi beberapa orang ini mungkin ambil kesempatan tidak pergi ke CAC.

“Jika ada 2,000 orang di CAC, berapa orang yang sanggup berbaris?” kata Chee.

Keadaan sesak di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan membuatkan pesakit tanpa gejala atau ada gejala ringan mengelak dari membuat saringan kerana tidak mahu beratur panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2021.

Tambahnya, orang ramai juga mungkin ada masalah pengangkutan jika CAC jauh dari rumah mereka.

“Haruskah anda panggil e-hailing, atau susahkan saudara-mara anda untuk pergi ke CAC? Mereka juga bimbang sebarkan virus kepada pemandu,” kata Chee.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), pesakit ringan dan tidak bergejala menyumbang lebih daripada 90% kes baharu setiap hari di negara ini.

KKM berkata pada 16 Julai, bilangan pesakit Covid-19 baharu tanpa gejala dan bergejala ringan (Kategori 1 dan 2) masing-masing 51.9% dan 46.6%, berbanding 0.7% untuk Kategori 3, dan 0.4% untuk Kategori 4 dan 5.

Semalam terdapat 7,179 kes dalam Kategori 1 (tidak bergejala), 5,646 kes dalam Kategori 2 (bergejala ringan), 124 kes dalam Kategori 3 (radang paru-paru), 72 kes dalam Kategori 4 (radang paru-paru dan perlukan oksigen) dan 13 kes dalam Kategori 5 (kritikal dan perlukan bantuan pernafasan melalui pengudaraan).

Lima kategori pesakit Covid-19 adalah pesakit tanpa gejala (Kategori 1), pesakit dengan gejala ringan (Kategori 2), pesakit dengan radang paru-paru (Kategori 3), pesakit yang memerlukan oksigen dan ada radang paru-paru (Kategori 4) dan pesakit kritikal dan perlukan ventilator (Kategori 5). – 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen