13,034 kes baharu Covid-19, rekod harian kedua tertinggi, kata KP kesihatan


Beberapa van jenazah kelihatan membawa mangsa korban akibat Covid-19 untuk ditanam di sebuah tanah perkuburan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Julai, 2021

MALAYSIA hari ini melaporkan sebanyak 13,034 jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah kes hari ini kedua tertinggi melebihi 13,000, kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Pada 15 Julai lalu, negara mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 13,215, rekod harian paling tinggi sejak pandemik bermula tahun lalu.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor dan Kuala Lumpur terus melaporkan kes paling tinggi, masing-masing dengan 6,049 dan 1,611 jangkitan baharu.

Katanya, Selangor kini menambung beban kes kumulatif sebanyak 343,946 berbanding jumlah keseluruhan negara iaitu 964,918.

Selepas Lembah Klang, Johor merupakan negeri ketiga tertinggi dengan 791 kes.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Negeri Sembilan dengan 711 kes, Kedah (701), Sarawak (644), Sabah (497), Terengganu (391), Pulau Pinang (371), Melaka (353), Perak (284), Pahang (261), Kelantan (240) dan Putrajaya (100).

Labuan mencatatkan 24 kes, manakala Perlis merupakan satu-satunya negeri yang melaporkan kes satu digit iaitu dengan enam jangkitan.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes harian hari ini, hanya 0.65% kes berada dalam Kategori 4 dan 5, sementara 93.35% kes lagi dalam Kategori 1 dan 3.

Mengulas lanjut, beliau berkata 7,179 kes berada dalam Kategori 1 (tanpa gejala), 5,646 kes dalam Kategori 2 (gejala ringan), 124 kes dalam Kategori 3 (radang paru-paru), 72 kes dalam Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan 13 kes dalam Kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan melalui pengudaraan).

Sementara itu, sebanyak 446,052 dos vaksin Covid-19 diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan(PICK) setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini.

Seramai 282,980 individu menerima dos pertama sementara seramai 163,072 sudah menerima kedua-dua dos.

Dengan angka terkini, seramai 10.5 juta atau 32.4% daripada jumlah penduduk sudah menerima dos pertama vaksin mereka sementara selebihnya 4.9 juta atau 15.1% penduduk diberi vaksin sepenuhnya. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen