Jangan takut dengan ugutan politik Perikatan, kata Syed Saddiq


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq mendedahkan ada ramai lagi ahli Parlimen sedang disiasat agensi antirasuah, dengan matlamat berpaling menyokong kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2021.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa semua ahli Parlimen supaya jangan tunduk dan takut dengan ugutan kerajaan Perikatan Nasional yang mahu mereka mendukung Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau mendedahkan ada ramai lagi ahli Parlimen sedang disiasat oleh agensi anti rasuah dan mereka akan dipanggil dalam waktu terdekat, dengan matlamat supaya berpaling menyokong kerajaan.

“Jangan sesekali kita tunduk kepada mereka yang mengugut. Jangan pernah gentar. Berani kerana benar.

“Kalau tidak salah, hadapi mereka. Biar mahkamah bersihkan nama kita. 

“Jangan sebelum Parlimen bermula kita terus menyokong (kerajaan Muhyiddin) dan yang pembangkang, melompat… jangan. Kita ada integriti, prinsip dan maruah,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Syed Saddiq berkata beliau mendapat maklumat mengenai siasatan ke atas ahli Parlimen lain daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa mereka menyiasatnya.

Beliau tidak menamakan ahli Parlimen berkenaan.

Arahan Ogos 2020, dakwa Julai 2021

Sementara itu, Syed Saddiq sekali lagi menegaskan pendakwaan jenayah terhadapnya bermotifkan politik.

Katanya, siasatan ke atasnya bermula sejak April 2020 dan arahan untuk pendakwaan dikeluarkan sejak Ogos 2020 tetapi hanya sekarang baru beliau didakwa di mahkamah.

“Kenapa sekarang saya dituduh iaitu seminggu sebelum persidangan Parlimen yang penting. 

“Amat nyata pertuduhan ini adalah satu percaturan politik,” katanya.

Parlimen akan mengadakan sidang khas mengenai pengurusan pandemik Covid-19 bermula Isnin ini.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau akan mendedahkan lebih lanjut mengenai permainan politik itu, malam ini.

Beliau juga menegaskan tindakan mahkamah ini tidak akan mematahkan semangatnya untuk membangunkan sebuah Malaysia yang lebih baik untuk semua.

Syed Saddiq keluar dari mahkamah selepas menyelesaikan sebahagian daripada ikat jamin yang dikenakan ke atasnya. Beliau hari ini membayar RM250,000 dengan baki RM80,000 akan diselesaikan sebelum Selasa ini.

Beliau didakwa berasingan di hadapan Hakim Sesyen Azura Alwi atas tuduhan pecah amanah dan salah guna wang yang keseluruhan berjumlah RM1.12 juta milik sayap Pemuda Bersatu.

Beliau memimpin sayap pemuda itu sehingga Mei 2020 sebelum mengasaskan parti baharu Muda, yang masih menunggu kelulusan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Presiden penaja Muda menegaskan beliau masuk politik bukan kerana wang tetapi mahu membersihkan negara daripada penyelewengan.

Beliau antara pengasas Bersatu, parti yang kemudiannya bersama Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Rasuah adalah barah dan musuh utama negara,” katanya.

Syed Saddiq mengingatkan beliau antara ahli politik terawal yang mengisytiharkan harta kepada agensi anti rasuah dan kuta melobi supaya kerajaan menggubal undang-undang mengenai pembiayaan politik untuk menyekat penyelewengan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir. 

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ambiga Sreenevasan dan Haijan Omar.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes pada 10 September ini untuk penyerahan dokumen. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen