Syed Saddiq tiba di mahkamah untuk pertuduhan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung penyelewengan lebih RM1 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2021.

BEKAS menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini dipercayai bagi menghadapi pertuduhan berhubung penyelewengan lebih RM1 juta.

Ahli Parlimen Muar itu tiba kira-kira jam 9.02 pagi diiringi peguamnya Gobind Singh Deo dan Ambiga Sreenevasan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada malam tadi memberitahu The Malaysian Insight, Syed Saddiq akan didakwa mengikut dua pertuduhan.

Katanya, ia melibatkan Seksyen 405 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pecah amanah dana sebuah parti politik dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan menyalahgunakan harta iaitu wang.

Sumber berkata, kesalahan itu dipercayai dilakukan pada 2018 dan 2020.

Syed Saddiq pada malam tadi turut menafikan tuduhan tersebut yang didakwa bermotifkan politik dan bertujuan untuk memaksa beliau menyokong Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, beliau lebih rela didakwa di mahkamah berbanding menyertai parti itu dan ugutan tersebut pula akan timbul setiap kali Parlimen bersidang. 

Siasatan ke atas Syed Saddiq dijalankan sejak Jun 2020 selepas pihak berkuasa menerima aduan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.

Pada Mac sebelumnya, ahli Parlimen itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendakwa wang yang disimpan dalam peti besi di rumahnya hilang.

Syed Saddiq yang kini presiden penaja Parti Ikatan Demokratik (Muda) mendakwa wang yang hilang itu milik peribadinya serta ibu bapanya.

Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti simpanan selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac 2020.

Susulan, itu SPRM membuka siasatan selepas agensi anti rasuah juga menerima laporan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.

SPRM telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi termasuk bekas menteri itu.

Bekas menteri itu juga telah diminta mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan pada bulan lalu.

Polis juga pada masa sama membuka siasatan berhubung laporan kecurian.

Pada September tahun lalu, Syed Saddiq mengemukakan permohonan mendaftarkan parti politik barunya, di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selepas dipecat dari parti asalnya kerana menyokong pembangkang dan tidak mendukung kerajaan sekarang. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen