Bekas menteri akan didakwa seleweng lebih RM1 juta, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata bekas menteri itu akan didakwa mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana salah guna harta dan jenayah pecah amanah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.

SEORANG ahli Parlimen yang juga bekas menteri akan didakwa di mahkamah esok berhubung penyelewengan lebih RM1 juta wang milik sebuah parti politik, kata sumber agensi anti rasuah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bekas menteri itu akan didakwa mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana salah guna harta dan jenayah pecah amanah.

“Individu berkenaan dipercayai menyeleweng dana politik parti yang dianggarkan RM1.12 juta ketika beliau memegang jawatan ketua Pemuda parti berkenaan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Selain pertuduhan di Kuala Lumpur esok, ahli parlimen itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada hari lain.

Dalam satu rakaman video di Twitter, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan beliau individu yang dimaksudkan dan menegaskan sedia membersihkan namanya di mahkamah pagi esok.

“Sudah lebih setahun saya didakwa sekiranya tidak menyertai perikatan nasional.

“Setiap kali ada undian penting di Parlimen ugutan akan datang – pada Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang.

“Berani kerana benar. Saya tidak akan jual jiwa raga saya kepada Perikatan Nasional,” katanya.

Syed Saddiq juga berkata beliau akan membuat satu sidang video malam esok untuk pendedahan lanjut.

Siasatan ke atas Syed Saddiq dijalankan sejak Jun 2020 selepas pihak berkuasa menerima aduan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.

Pada Mac sebelumnya, ahli Parlimen itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendakwa wang yang disimpan dalam peti besi di rumahnya hilang.

Beliau mendakwa wang yang hilang itu milik peribadinya serta ibu bapanya.

Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti simpanan selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac 2020.

Susulan, itu SPRM membuka siasatan selepas agensi anti rasuah juga menerima laporan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.

SPRM telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi termasuk bekas menteri itu.

Bekas menteri itu juga telah diminta mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan pada bulan lalu.

Polis juga pada masa sama membuka siasatan berhubung laporan kecurian.

Pada September tahun lalu, Syed Saddiq mengemukakan permohonan mendaftarkan parti politik barunya, di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selepas dipecat dari parti asalnya kerana menyokong pembangkang dan tidak mendukung kerajaan sekarang.  – 21 Julai, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen