Had 80 ahli Parlimen tak perlu, kata wakil rakyat


Chan Kok Leong

Parlimen akan bersidang pada hujung bulan ini, selepas berbulan tidak bersidang walau negara dilanda krisis kesihatan terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

MENGHADKAN jumlah ahli Parlimen yang boleh memasuki Dewan Rakyat adalah langkah tidak perlu dan serangan kepada sistem demokrasi berparliman, kata wakil rakyat.

“Sangat mengecewakan sebab Parlimen sudah tak bersidang lebih daripada tujuh bulan dan kesemua 220 ahli Parlimen berhak ada peluang untuk bercakap dan hadir sidang Parlimen tanpa sekatan,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan P Kasthuri kepada The Malaysian Insight.

Wakil rakyat dari Pulau Pinang itu berkata tidak ada sebab mengapa semua ahli Parlimen untuk dilarang memasuki Dewan Rakyat selepas semua langkah keselamatan sudah diambil.

“Kami sudah diberitahu untuk buat ujian swab pada 23 Julai. Selepas itu, kami perlu kuarantin kendiri sehingga Parlimen bermula pada 26 Julai.

“Dengan semua langkah yang diambil ini, tidak ada sebab mengapa perlu adanya had 80 orang ahli Parlimen sahaja dalam Dewan Rakyat,” kata Kasthuri.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon yang Parlimen merancang untuk meletakkan had hanya 80 orang ahli Parlimen bermula pada persidangan Julai ini.

“Seperti tahun lepas, hanya 80 orang akan dibenar masuk (Dewan Rakyat),” kata ahli Parlimen Batu Pahat yang keluar PKR dan memasuki Bersatu pada Langkah Sheraton 2020 itu.

Rashid bagaimanapun tidak menjelaskan sebab mengapa peraturan hanya 80 orang itu dibuat walaupun kesemua wakil rakyat dan kakitangan Parlimen sudah menerima vaksinasi lengkap.

Selepas mendapatkan persetujuan whip parti, Parlimen memperkenalkan had 80 orang ahli Parlimen pada persidangan November 2020 dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

Semua ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara, kakitangan Parlimen dan pegawai pengiring sudah menerima dua dos vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

Di bawah peraturan itu, hanya 41 orang wakil rakyat kerajaan dan 39 ahli Parlimen pembangkang dibenarkan memasuki Dewan Rakyat pada satu-satu masa, tetapi kesemua wakil rakyat masih dibenarkan mengundi untuk usul dibentangkan.

Perubahan lain yang yang diperkenalkan termasuklah menghadkan tempoh masa soal jawab kerajaan dan menteri, tempoh mesyuarat dikurangkan daripada lima jam setengah kepada empat jam serta mengurangkan jumlah jam persidangan Dewan Rakyat daripada 86 kepada 66 jam sepanjang persidangan ketiga tahun 2020.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii pula berkata had 80 orang itu menghantar mesej salah kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Mesej apa yang kita mahu hantar kepada negara bila semua ahli Parlimen, senator, kakitangan Parlimen dan pegawai pengiring semuanya sudah divaksin tetapi masih tidak dibenarkan berjumpa serentak bagi membahaskan isu penting untuk negara?” kata doktor perubatan itu.

“Malah, semua kami juga perlu menjalani ujian RT-PCR sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ke Parlimen,” kata Dr Yii.

Katanya, had 80 orang ahli Parlimen tidak dibuat kerana faktor kesihatan tetapi kerana faktor politik.

“Mereka tak nak tengok sokongan kepada mereka yang sudah sedia dipersoalkan nampak jelas dalam dewan,” katanya lagi.

“Pada November lepas, Malaysia masih belum memulakan program vaksinasinya tetapi 10 bulan lepas itu, semua ahli Parlimen, Senator dan kakitangan Parlimen sudah divaksin.

“Disebabkan itu, tidak ada sebab untuk menghadkan jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan hadir persidangan Parlimen.”

Ramai wakil rakyat mahu semua ahli Parlimen dibenar hadir persidangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

Dr Yii berkata situasi semasa Covid-19 dan cara kerajaan menangani pandemik Covid-19 juga berbeza pada tahun ini dan tahun lepas.

“Pada 6 November, jumlah kes aktif hanya 11,530 dan jumlah kematian sekitar 280 orang. Tetapi sekarang, jumlah kes aktif lebih 10 kali ganda (124,593 pada 18 Julai) dan jumlah kematian sudah 7,019.

“Memandangkan pandemik ini sangat serius, semua ahli Parlimen perlu dibenarkan hadir Dewan Rakyat selagi mana mereka disahkan negatif dan sudah divaksin,” tambahnya.

Biar Dewan putuskan

Parlimen sepatutnya menyerahkan keputusan berapa ramai boleh hadir kepada wakil rakyat, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

“Saya tak setuju dengan had itu. Jika Parlimen mahu buat ini, ia sepatutnya bentangkan usul dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diundi.

“Ini patutnya diputuskan oleh ahli Parlimen. Semua ahli Parlimen sudah divaksin penuh dan wujud langkah pencegahan mencukupi di Parlimen seperti penghadang plastik, ruang berasingan dan sebagainya.

“Speaker bukan raja di Parlimen. Dia tiada kuasa untuk mengenakan sebarang had.”

Kerajaan Muhyiddin Yassin berdepan tugas berat memastikan persidangan berjalan lancar tanpa usaha mencabar keabsahan pentadbirannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

Tetapi bukan mudah untuk Perikatan Nasional membawa isu it uke Dewan Rakyat, kata seorang lagi ahli Parlimen yang bercakap atas dasar kerahsiaan identiti.

“Bila mereka buat tahun lepas, Perikatan ada lebih kurang 115 ahli Parlimen dan mereka berjaya hadkan jumlah ahli Parlimen dengan bercakap terus dengan wip parti.

“Sejak Umno menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kerajaan sekarang sedang terkepung.

“Kita tak tahu berapa ramai daripada 38 ahli Parlimen Umno yang masih menyokongnya. Tetapi kalau hanya 10 orang dah tak sokong, apa sahaja usul atau rang undang-undang yang dibawa Perikatan Nasional akan tergugat.”

Selepas berjaya menggantung Parlimen selama lapan bulan, majoriti keabsahan pentadbiran Muhyiddin akan teruji sekali lagi apabila Dewan Rakyat bersidang bermula 6 hingga 30 September depan.

Persidangan Parlimen pertama tahun ini akan dimulakan dengan titah diraja pada 6 September, diikuti dengan perbahasan mengenainya.

Jika kerajaan tidak membentangkan usul Ordinan Darurat pada persidangan ini, ia tidak akan berdepan sebarang pengundian sehingga Bajet dibentangkan pada mesyuarat terakhir tahun ini pada 25 Oktober hingga 16 Disember. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen