Hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan masuk Dewan Rakyat mulai esok


Mohd Farhan Darwis

HANYA 80 orang ahli Parlimen dibenarkan berada di dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa bermula esok ketika sesi pembentangan Belanjawan 2021.

Daripada jumlah itu, 41 ahli Parlimen adalah daripada pihak kerajaan manakala 39 lagi daripada pembangkang dan Bebas, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Notis pemasyhuran yang dibacakan timbalannya Rashid Hasnon menyebut ia merupakan langkah mengekang penularan pandemik Covid-19 di bangunan Parlimen.

“Penentuan ahli Yang Berhormat yang boleh berada dalam Dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing,” kata Rashid ketika membacakan pemasyhuran itu.

Ketika menjelaskan peraturan baharu tersebut selepas itu, Azhar berkata jumlah 41 wakil kerajaan dan 39 pembangkang dan Bebas itu mencerminkan bilangan ahli Parlimen di dalam Dewan.

Katanya ia hanya untuk mengawal kehadiran di Dewan dan bukannya untuk undian mana-mana usul.

“Ini keputusan konsensus ketua Whip yang hadir semalam, bukan undi majoriti dan sebagainya. Mengenai 80 orang ini untuk mencerminkan majoriti dalam Dewan Rakyat,” katanya.

“Untuk kehadiran dan perbahasan, kalau ada undi belah bahagian kita dah setuju semua ahli Parlimen di perkarangan Parlimen dapat datang dan mengundi.

“Kita tak hadkan bilangan pengundian, masa mengundi kita beri peluang semua dapat hadir,” katanya lagi.

Menurut notis pemasyhurannya, Azhar menyatakan loceng akan dibunyikan dua kali untuk memanggil ahli masuk ke Dewan Rakyat.

“Untuk proses ini, kesemua ahli yang berhormat dibenarkan untuk berada di dalam Dewan,” katanya.

Azhar menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta penjelasan berhubung perkara itu.

Pemasyhuran Azhar juga menetapkan ahli Parlimen akan diberikan kad kehadiran khas bagi tujuan itu.

Katanya, kehadiran wakil kerajaan diselaraskan menteri hal ehwal undang-undang Takiyuddin Hassan di pihak kerajaan dan Johari Abdul (Sungai Petani) untuk wakil pembangkang dan Bebas.

Menurutnya, persidangan bermula 9 November hingga 15 Disember depan juga hanya akan berlangsung selama empat jam, bermula 10 pagi hingga 2 petang.

Keputusan itu juga menurut Azhar dibuat secara konsensus bersama ketua whip parti politik masing-masing. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen