3 belia anjur protes anti kerajaan di Dataran Merdeka didenda RM2,000


Tiga individu terbabit dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar perintah kawalan pergerakan, kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Julai 2021.

POLIS mengenakan kompaun kepada tiga individu yang menganjurkan protes aman terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dataran Merdeka semalam.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy memberitahu The Malaysian Insight tiga individu terbabit dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar perintah kawalan pergerakan.

“Mereka bertiga Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar daripada Bersih 2.0, Mohammad Alshatri Abdullah daripada Suaram dan penyair Muhammad Nur Taufiq Azhar dikenakan denda RM2,000 setiap seorang.

“Mereka pada mulanya dipanggil ke balai polis daerah Dang Wangi untuk memberikan keterangan.

“Mereka tidak ditahan dan dibebaskan oleh polis,” kata Sevan ketika dihubungi.

Berita kompaun yang dikenakan segera ke atas penganjur protes itu mendapat reaksi segera orang ramai di media sosial yang mempertikaikan kenapa tiada tindakan segera dalam kes yang melibatkan beberapa ahli politik.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya menerima arahan untuk mengkompaun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana melanggar sekatan pergerakan pada awal Jun - lebih 40 hari selepas kejadian.

Semalam, bendera hitam dan replika mayat diletakkan di padang di Dataran Merdeka sebagai sebahagian daripada protes aman yang dilakukan terhadap kerajaan PN yang dikatakan gagal mengendalikan pandemik Covid-19.

Kumpulan belia Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata kerajaan gagal mengawal pandemik, walaupun darurat dikuatkuasakan dan langkah perintah kawalan pergerakan.

Dalam satu kenyataan, kumpulan aktivis itu menjelaskan replika mayat tersebut melambangkan jumlah kematian akibat Covid-19 dan kes bunuh diri yang semakin meningkat.

14 bendera hitam yang dibawa dalam perhimpunan itu pula melambangkang kemarahan rakyat, kata kumpulan itu lagi dalam kenyataannya.

“Ini menunjukkan rakyat sudah penat dan marah dengan sikap ego kerajaan Perikatan Nasional yang enggan meletakkan jawatan,” kenyataan itu dipetik.

Kumpulan itu juga kecewa kerana perdana menteri tidak peka ke atas masalah dihadapi rakyat dengan merendah-rendahkan usaha rakyat meminta bantuan dengan menaikkan bendera putih. – 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen