Kes meningkat, doktor di pusat kuarantin mohon bantuan


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Mapes, Serdang berdepan bebanan kes yang semakin bertambah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

PARA doktor di pusat kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor memohon bantuan lebih ramai tenaga kerja daripada Kementerian Kesihatan bagi menguruskan pesakit berikutan lonjakan kes Covid-19. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insight pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah yang mempunyai lebih 5,000 katil itu berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.

Doktor dan jururawat terpaksa melakukan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR) ke atas beberapa pesakit kerana lonjakan kes yang tidak normal di pusat kuarantin. 

“Pusat kuarantin atau hospital medan merupakan penempatan sementara untuk pesakit sebelum mereka boleh dipindahkan ke hospital,” kata sumber. 

“Ia tidak sama dengan penjagaan hospital dan tidak boleh dianggap seperti itu kerana kakitangan tidak mencukupi. 

“Berapa lama lagi pesakit perlu tunggu sebelum lebih ramai kakitangan ditambah?” kata sumber yang merupakan seorang daripada doktor di Maeps. 

Doktor membuat permohonan kecemasan kepada kementerian awal minggu ini untuk mendapatkan lebih ramai kakitangan. 

Menurut sumber, bantuan perlu disediakan paling lama dalam tempoh 72 jam kerana ia tidak mengambil masa lebih 2 hari untuk mengatur tenaga kerja. 

Pusat kuarantin terpaksa memindahkan pesakit ke Hospital Slim River semalam berikutan kekurangan tenaga kerja. Tambahan pula pesakit memerlukan penjagaan hospital.

Sejumlah pesakit Kategori 4 sedang menunggu rawatan sementara perbincangan sedang dijalankan sama ada pesakit Kategori 1 harus didiscaj. Terdapat juga lebih 1,000 pesakit Kategori 3 di Maeps.

Pesakit Covid-19 terdiri daripada lima kategori; iaitu Kategori 1 yang tidak bergejala, Kategori 2 (gejala ringan) dan Kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru).

Kategori 4 merujuk kepada pesakit yang menghidap pneumonia teruk dan memerlukan bantuan oksigen, manakala Kategori 5 merujuk kepada pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ.

Sumber turut menyifatkan situasi di Maeps sama seperti tali sawat yang tersekat, sesak. 

Menurutnya doktor sudah merayu kepada kementerian untuk menambah lebih ramai kekitangan kerana petugas kesihatan sudah keletihan dan patah semangat.

Sumber lain mencadangkan agar Pusat Penilaian Covid-19 ditukar menjadi pusat rawatan oksigen.

Sumber berkata tiada gunanya menilai pesakit kerana mereka tidak dapat masuk ke rumah sakit yang penuh sesak.

Sumber itu menambah hospital medan harus didirikan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan pesakit hanya patut dipindahkan apabila memerlukan oksigen.

Ngara terus mencatat kenaikan kes Covid-19 dengan 9,353 jangkitan baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 827,191. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata semua 154 katil yang diperuntukkan untuk pesakit Kategori 4 di Maeps sudah penuh.

“Baki katil untuk pesakit Covid-19 Kategori 1,2 dan 3 di Maeps juga hampir penuh.

“Maeps menerima rata-rata 800 pesakit Covid-19 sehari, dengan purata 200 pesakit Covid-19 dalam Kategori 4,” tambahnya.

Beliau berkata kementerian meningkatkan sumber di pusat rawatan Covid-19 ini untuk mengatasi beban pesakit yang semakin meningkat.

“KKM menilai semula strategi yang ada dan mengenal pasti langkah segera dan responsif yang harus diambil untuk meningkatkan persiapan hospital di Lembah Klang dan Maeps yang menyaksikan peningkatan pesakit Kategori 4 dan 5.”

The Malaysian Insight pada 25 Jun melaporkan hampir 150 pesakit Covid-19 serius di Maeps terpaksa menunggu sebelum dipindahkan ke hospital yang kehabisan katil.

Kementerian Kesihatan juga menggerakkan 110 pegawai kesihatan yang terdiri daripada 75 pegawai perubatan, paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu, serta 43 pegawai perubatan dari hospital Lembah Klang ke Maeps untuk tempoh enam bulan.

Sebanyak 1,550 silinder oksigen juga dihantar ke Maeps untuk memastikan bekalan berterusan di pusat tersebut. Kementerian juga memutuskan untuk membeli 300 unit pemekat oksigen.

Langkah lain yang diambil termasuk memulakan operasi di pusat latihan KKM di Sungai Buloh, yang mempunyai kapasiti 2,400 katil untuk menempatkan pesakit Kategori 1 dan 2 untuk mengosongkan ruang di Maeps bagi pesakit Kategori 3 dan 4.

Sementara itu, negara mencatat 9,353 jangkitan baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 827,191.

Selangor melaporkan 4,277 kes dalam tempoh 24 jam lalu sementara Kuala Lumpur 1,398 kes. – 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen