Pesakit Covid-19 di MAEPS dipindah ke Hospital Slim River, kata sumber


Ragananthini Vethasalam

PKRC Bersepadu 2.0 di MAEPS mula sesak dengan pesakit Covid-19 sejak Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2021.

BEBERAPA pesakit Covid-19 dari di pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor terpaksa dipindahkan ke Hospital Slim River di Perak, kata sumber, ketika angka harian jangkitan di Lembah Klang terus meningkat.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 itu dipindahkan susulan kekurangan kakitangan.

“Betul, kami pindahkan beberapa pesakit ke Slim River,” katanya.

The Malaysian Insight bagaimanapun tidak dapat mengesahkan berapa ramai yang sudah dipindahkan.

Sumber juga menambah, pesakit yang dipindahkan merupakan mereka yang perlu dirawat di hospital.

“Mereka sepatutnya dirawat di hospital, tetapi kami kurang kakitangan.”

Pusat kuarantin di MAEPS, yang mampu menampung lebih 5,000 katil, mula sesak dengan pesakit Covid-19 sejak Mei.

Kelmarin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata semua 154 katil yang diperuntukkan untuk pesakit Kategori 4 di MAEPS sudah penuh.

“Baki katil yang disediakan bagi pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan kategori 3 di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 juga hampir digunakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima kira-kira 800 pesakit sehari, dengan 200 adalah pesakit kategori 4.

Pesakit Covid-19 terdiri daripada lima kategori; iaitu kategori 1 yang tidak bergejala, kategori 2 (gejala ringan) dan kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru).

Kategori 4 merujuk kepada pesakit yang menghidap pneumonia teruk dan memerlukan bantuan oksigen, manakala kategori 5 merujuk kepada pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan 9,353 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini mencecah 827,191.  – 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen