Belanda perketat semula peraturan bendung Covid-19


Perdana Menteri Mark Rutte berkata sekatan baharu itu akan dilaksanakan mulai 6 pagi Sabtu dan sehingga 31 Ogos. – Gambar EPA, 10 Julai, 2021.

KERAJAAN Belanda pada Jumaat mengumumkan langkah pencegahan Covid-19 yang lebih akan dikuat kuasa semula untuk mengekang peningkatan jangkitan kes. 

Perdana Menteri Mark Rutte berkata sekatan baharu itu akan dilaksanakan mulai 6 pagi Sabtu dan sehingga 31 Ogos, lapor Agensi Anadolu. 

Rutte berkata jumlah kes harian meningkat mendadak daripada yang dijangkakan. 

“Walaupun kita tidak mahukan sekatan tetapi ia terpaksa dilakukan,” katanya. 

Menurutnya lagi, ia juga untuk mengelakkan Belanda dimasukkan ke dalam senarai negara merah sekali gus disekat melakukan perjalanan ke sesebuah negara.

Seramai 6,986 dijangkiti virus itu dalam tempoh 24 jam, menurut data Institut Kesihatan Umum dan Alam Sekitar. 

Jumlah itu yang tertinggi dicatatkan sejak 8 Mei, angka itu meningkat tiga kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

Kes harian berada di bawah angka 1,000 sejak pertengahan Jun kemudian melonjak mencecah 3,000 minggu lalu dan menghampiri 7,000 pada Jumaat.

Satu pertiga daripada kes baharu itu membabitkan varian Delta. – Bernama, 10 Julai, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen