Belanda mula longgar sekatan pergerakan


Perdana Menteri Mark Rutte semalam umum Belanda akan melonggarkan peraturan bagi membendung jangkitan Covid-19 termasuk arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 26 Jun ini. – Gambar EPA, 19 Jun, 2021.

BELANDA semalam umum akan melonggarkan peraturan bagi membendung jangkitan Covid-19 termasuk arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 26 Jun ini.

Perdana Menteri Mark Rutte berkata kelonggaran itu merupakan langkah besar ke arah kehidupan tanpa sekatan.

Rakyat negara itu bagaimanapun masih perlu menjaga jarak fizikal 1.5 meter, katanya.

Tambahnya, kerajaan akan memutuskan sama ada banyak lagi sekatan seperti penjarakan fizikal ditarik balik pertengahan Ogos nanti. 

Orang ramai bagaimanapun masih perlu memakai pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sekolah. Manakala pengunjung kelab malam perlu menunjukkan bukti mereka negatif ujian Covid-19.

Belanda mula membenarkan pelanggan makan di restoran 5 Jun lalu.

Mulai Jumaat depan, hotel, restoran dan pusat hiburan dibenarkan menayangkan perlawanan bola sepak Euro 2020 di dalam atau luar premis maasing-masing dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Saya berharap Belanda akan mara ke perlawanan akhir,” kata Rutte.

Sehingga kini, Belanda yang mempunyai 17 juta penduduk mencatat lebih 1.5 juta kes Covid-19 dengan 17,700 kematian. – AFP, 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen