Vaksinasi boleh kurangkan kes Covid-19 pada September, kata pakar


Raevathi Supramaniam Ravin Palanisamy

Program vaksinasi negara kini diperhebat termasuklah dengan program vaksinasi rumah ke rumah di Sabak Bernam, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Julai, 2021.

MALAYSIA akan mampu menurunkan kes harian Covid-19 menjelang September menerusi vaksinasi jika negara mempunyai bekalan vaksin mencukupi dan mengekalkan kadar suntikan harian semasa, kata pakar perubatan.

Dianggarkan Malaysia boleh mengurangkan jangkitan wabak menjelang September atau Oktober, bergantung kepada saiz keluasan setiap negeri.

“Tapi ia bukan terus jadi kerana bergantung kepada liputan vaksinasi,” kata Ketua Pegawai Ekskutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib.

“Standard minimum adalah memastikan seramai mungkin orang mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin. Yang terbaik tentulah vaksinasi lengkap dua suntikan.

“Jika negeri lebih kecil seperti Negeri Sembilan, Perlis, Melaka dan Labuan mempunyai bekalan vaksin mencukupi dan mampu untuk memvaksin penduduk mereka tanpa gangguan, mereka boleh jangka beban kes turun mendadak menjelang September.”

Menurutnya, penurunan kes juga boleh berlaku di Sarawak menjelang September kerana negeri itu sedang memperhebat program vaksinasinya.

Beliau menjangkakan yang kes akan berkurangan di Lembah Klang, Johor, Sabah dan negeri lain pada Oktober.

Malaysia kini melaporkan pelonjakan kes harian Covid-19 minggu ini berlegar sekitar 9,000 kes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Julai, 2021.

Sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Februari lalu, setakat ini 10.4 juta orang telah divaksin.

Daripada jumlah itu 3.2 juta orang atau 9.8% populasi menerima dua suntikan manakala 7.2 juta atau 22.1% populasi lagi menerima suntikan pertama vaksin.

Data terkini ini susulan ketibaan lebih banyak vaksin bulan ini.

Menteri penyelaras program imunisasi kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata yang dengan bekalan baharu, kerajaan akan memperhebat program vaksinasi dengan Julai dan Ogos dianggap sebagai bulan kritikal.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman pula menjangkakan akan berlaku penurunan jangkitan Covid-19 di Malaysia jika 40% populasi sudah divaksin.

“Saya fikir jika kita boleh mencapai hampir 40% vaksinasi penuh (2 dos) di peringkat kebangsaan, terutama sekali di Selangor, kita akan menyaksikan penurunan kes aktif.

“Berdasarkan angka semasa dan jangkaan kadar vaksinasi harian, besar kemungkinan kita boleh capai sasaran paling awal pada awal September,” katanya.

Sistem kesihatan negara tidak lagi mampu menampung bebanan kes Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Julai, 2021.

Malaysia diletakkan di bawah sekatan pergerakan penuh atau Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara bermula 1 Jun lalu selama sebulan.

Sekatan pergerakan penuh kemudiannya dilanjutkan tanpa tarikh akhir sehingga jumlah kes harian menurun ke bawah 4,000, 10% populasi divaksin dan kapastiti sistem penjagaan kesihatan awam tidak lagi berada di tahap kritikal.

Pada masa sekarang, kes harian kekal tinggi melepasi 7,000 kes dan pihak berkuasa berkata hospital termasuk ICU sudah terbeban menanggung kes wabak.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) juga dikenakan di Lembah Klang meliputi Selangor dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur bermula 3 hingga 16 Julai.

Setakat ini, hanya Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis memenuhi ketiga-tiga kriteria untuk memasuki Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara.

Di negeri dikawal pembangkang, Selangor, wakil rakyat pada mulanya mendakwa bekalan vaksin tidak mencukupi untuk negeri paling padat penduduk dan pemacu ekonomi negara itu.

Setakat 8 Julai lalu, 1.3 juta atau 20.1% penduduk Selangor sudah menerima satu suntikan vaksin, sementara 446,583 atau 6.8% penduduk lagi sudah menerima vaksin lengkap dua dos, menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Selangor terus menjadi penyumbang utama kes harian tertinggi walaupun hampir semua daerah di negeri itu diletakkan di bawah PKPD.

Bekalan vaksin yang tiba bulan ini membolehkan program vaksinasi diperhebat termasuk program suntikan vaksin rumah ke rumah yang dijalankan di Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Julai, 2021.

Semalam, negeri itu melaporkan 4,400 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor meningkat kepada 277,393.

Semalam juga menyaksikan Malaysia melaporkan kes harian tertinggi pernah dicatat dengan 9,180 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak negara kini mencecah 817,838.

Walaupun sekatan pergerakan dikuatkuasa, kilang pengeluar produk penting dan yang dianggap kerajaan persekutuan sebagai penting untuk ekonomi negara, dibenarkan beroperasi dengan pematuhan ketat standard operasi piawai (SOP).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar juga kekal optimis yang Malaysia boleh menurunkan kes jangkitan Covid-19 menerusi vaksinasi pada dua bulan akan datang.

“Bergantung kepada vaksin dan bekalan, serta tambah baik liputan (jumlah orang), mereka yang divaksin akan dilindungi.

“Semakin cepat dan besar liputan, semakin cepat kita boleh kurangkan (kes). Jika jadual dikeluarkan kerajaan betul, kita akan nampak berlaku penurunan sedikit selepas 10% hingga 20% liputan (orang divaksin), mungkin dalam sebulan atau dua bulan lagi,” katanya. – 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen