Lima negeri masuk Fasa 2 pemulihan 5 Julai, umum menteri


Kelantan memasuki Fasa 2 PPN selepas berjaya menepati tiga kriteria ditetapkan oleh PPN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2021.

LIMA negeri iaitu Terengganu, Pahang, Perak, dan Perlis akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) keluar daripada pandemik Covid-19 selepas memenuhi semua tiga petunjuk peralihan fasa, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kelima-lima negeri itu setakat semalam sudah selesai menyuntik vaksin kepada lebih 10 peratus penduduknya selain mempunyai jumlah kes jangkitan harian Covid-19 yang rendah dan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang sederhana.

“Ia lebih adil terutama kepada kerajaan negeri yang bekerja keras untuk memenuhi ketiga-tiga kriteria,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sidang media diadakan bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang juga menteri penyelaras PPN.

Menurut Tengku Zafrul, pelaksanaan PPN telah menunjukkan perkembangan positif apabila lima negeri kini beralih ke Fasa Dua. 

“Nilai ambang di negeri-negeri dalam fasa dua ini akan dipantau dan dinilai, sekiranya ada peningkatan kes…ia akan dibincangkan dalam sidang khas MKN untuk keputusan lanjut,” katanya.

Dengan peralihan fasa itu, sekatan pergerakan melibatkan kegiatan ekonomi dan sosial di lima negeri berkenaan akan lebih longgar bermula Isnin ini.

Kelonggaran Fasa 2

Berdasarkan senarai yang diumumkan oleh Ismail Sabri pada 27 Jun lalu, antara yang akan dilonggarkan ialah kebenaran operasi untuk kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi barangan elektrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting dari 8 pagi hingga 8 malam.

Sektor pembuatan melibatkan automatif, seramik, kilang perabot bagi eksport, getah, besi dan keluli serta simen juga akan dibenarkan beroperasi.

Pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 hingga 11 pagi tetapi pasar minggu, pasar malam masih belum boleh dibuka.

Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal juga akan dibenarkan.

Pergerakan rentas daerah dan negeri juga masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh dengan alasan kecemasan dan kebenaran khas pihak polis.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat fasa PPN pada 15 Jun, sehari sebelum Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan semasa pandemik Covid-19 di tengah perintah darurat.

Di bawah pelan itu, ekonomi Malaysia akan dibuka kembali secara bertahap berdasarkan tiga petunjuk iaitu jumlah kes jangkitan Covid-19 harian, penggunaan sistem kesihatan di ICU dan jumlah penduduk yang disuntik vaksin.

Muhyiddin berkata Malaysia hanya akan beralih ke Fasa 2 selepas jumlah purata kes turun kepada 4,000 sehari, penggunaan katil di ICU dikurangkan ke tahap sederhana dan 10% populasi diberi vaksin.

Di bawah Fasa 3 pula, jumlah kes harian mestilah di bawah 2,000; 40% daripada penduduk diberi vaksin; sistem kesihatan pada tahap terkawal.

Pada Fasa 4, kes harian mesti di bawah 500, 60% populasi sudah menerima vaksin, dan sistem kesihatan pada tahap selamat. – 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen