Dunia ini dikawal oleh samseng, kata juri Festival Filem Cannes


Donald Trump, Putin, antara samseng yang tidak ada moral, dakwa Spike Lee yang menjadi presiden juri Festival Filem Cannes tahun ini. – Gambar EPA, 7 Julai, 2021.

FESTIVAL filem Cannes dimulakan dengan nada politik yang sarat pada Selasa, dengan presiden juri Spike Lee mengecam para autoritarian, selain berkata orang kulit hitam masih “diburu seperti binatang” di Amerika Syarikat.

Lee menggelar Donald Trump sebagai “Agent Orange” sambil membaca “1619” yang merujuk pada tahun di mana hamba pertama sampai di Amerika.

“Dunia ini dikawal oleh samseng,” kata Lee sebagai jawapan kepada seorang wartawan Georgia yang bercakap tentang tindakan keras terhadap sambutan LGBTQ di negaranya, yang beliau salahkan Rusia.

“Agent Orange, lelaki di Brazil itu, dan Putin adalah samseng. Mereka tidak ada moral. Itulah dunia yang kita ada sekarang. Kita patut bersuara menentang samseng seperti itu,” kata Lee.

Disoal mengenai karya klasiknya “Do the Right Thing” mengenai hubungan kaum di New York, Lee mengaitkan mangsa keganasan polis baru-baru ini dengan berkata: “Anda boleh harap 30 tahun nanti, orang kulit hitam tidak akan diburu seperti haiwan lagi.”

Lima daripada sembilan anggota juri adalah wanita (majoriti untuk keempat kalinya dalam sejarah festival), dan isu perwakilan wanita juga dibangkitkan dalam sidang media.

“Ketika wanita mendengar suara hati dan benar-benar meluahkan diri mereka, walau dalam budaya yang sangat jantan, kita buat filem dengan cara yang berbeza, kita cerita dengan cara berbeza,” kata pelakon Maggie Gyllenhaal.

Beliau bercakap tentang perlunya “kekuatan” ketika menonton filem-filem yang dikuasai lelaki ketika muda dan “menukar menjadi sesuatu yang boleh saya kaitkan,” dan betapa terkesannya ketika menonton filem “The Piano” oleh Jane Campion pada 1993, yang masih merupakan satu-satunya filem wanita yang menang Palme d’Or di Cannes. – AFP, 7 Julai, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen